Skip to main content

Malaysia

Jaringan saat akhir Safawi Rasid lonjak KL City ke tangga kedua

KUALA LUMPUR, 8 Mac -- Pemain Kuala Lumpur City FC, Safawi Rasid meraikan jaringan kemenangan ketika menentang Melaka FC pada saingan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur hari ini.  Keputusan penuh Kuala Lumpur City FC 2-1 Melaka FC.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pemain Kuala Lumpur City FC, Safawi Rasid meraikan jaringan kemenangan ketika menentang Melaka FC pada saingan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City FC memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila menewaskan Melaka FC 2-1 pada aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di sini, malam tadi. 

Keputusan itu menyaksikan kedudukan The City Boys melonjak ke tangga kedua carta Liga Super dengan 39 mata manakala Melaka FC kekal di kedudukan kedua tercorot dengan 11 mata. 

Beraksi di dalam hujan, pasukan tuan rumah menampilkan permainan tersusun dalam usaha memburu jaringan sebelum mendahului menerusi Kamal Azizi Mohd Zabri pada minit ke-40. 

Melaka yang tidak berputus asa mencari gol penyamaan selepas aksi babak kedua bersambung akhirnya memperoleh jaringan menerusi Kwangil Pak yang menyudahkan hantaran Rashid Che Halim pada minit ke-86. 

Jaringan penyamaan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat anak buah Risto Vidakovic yang berhasil menjarakkan kedudukan menerusi sepakan kencang Muhammad Safawi Rasid pada masa kecederaan dan keputusan kekal 2-1. 

Sementara itu, aksi di Stadium Negeri Sarawak menyaksikan Kuching City FC mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas Sabah FC. 

Pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila penyerang import Joao Pedro meledak gol seawal minit kelima perlawanan bagi memberikan kelebihan  kepada Kuching City.

Kuching City terus mengekalkan momentum serangan dan berjaya menambah jaringan kedua pada minit ke-26 menerusi Petrus Shitembi, yang tenang menyempurnakan peluang untuk menggandakan kedudukan 2-0.

Di Seremban pula, Negeri Sembilan FC (NSFC) sekadar meraih satu mata selepas terikat dengan Penang FC 3-3 dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

NSFC mengawal permainan dengan melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan namun Penang FC terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi gol Dylan Christopher Charles Wenzel Halls pada minit ke-22.

Tanpa menunggu lama, NSFC bangkit menyamakan kedudukan apabila Jovan Motika meledak gol menerusi percubaan jarak jauh menewaskan penjaga gol Penang FC Mohamad Ramdhan Ab Hamid pada minit ke-29. 

Penang FC kemudian menggandakan jaringan menerusi Tchetche Kipre pada minit ke-78 sebelum Mio Tsuneyasu bijak memanfaatkan situasi kelam-kabut di hadapan gol untuk menyamakan kedudukan, empat minit kemudian sebelum Joseph Esso meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-88.

Pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung perlawanan yang disempurnakan oleh Stefano Brundo sekali gus menafikan kemenangan NSFC.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video