Skip to main content

Malaysia

Empat pegawai perlawanan Qatar adili final Piala Malaysia 2025/2026

FB Football Association of Malaysia
Menurut FAM, kesemua mereka bertaraf pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Pengadil Elite Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

KUALA LUMPUR: Empat pegawai perlawanan berprofil tinggi dari Qatar akan mengadili final Piala Malaysia 2025/2026 melibatkan juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuching City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, Sabtu ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mereka terdiri daripada Mohammed Ahmed Al Shammari selaku pengadil, Yousuf Aref Al Shamari dan Khaled Aiad Khalaf sebagai penolong pengadil 1 dan 2 serta Meshari Ali Alshamari selaku pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR).

Menurut FAM, kesemua mereka bertaraf pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Pengadil Elite Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Keempat-empat pegawai ini bukanlah nama asing di pentas bola sepak antarabangsa. Pengadil bersama kedua-dua penolong pengadil serta pengadil VAR pernah mengendalikan beberapa kejohanan utama termasuk Piala Dunia B-17 FIFA dan Perlawanan Akhir Qatar Emir Cup, membuktikan pengalaman serta kredibiliti mereka dalam mengurus perlawanan berintensiti tinggi.

“Pelantikan pengadil dari luar negara ini dibuat selepas FAM menerima permohonan rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) bagi memilih pengadil terbaik untuk mengendalikan perlawanan berprestij edisi ke-99 itu,” menurut kenyataan itu.

Memandangkan perlawanan akhir Piala Malaysia sentiasa menjadi acara kemuncak bola sepak negara, FAM komited memastikan setiap aspek penganjuran termasuk pengadilan mencapai standard terbaik selaras dengan reputasi kejohanan tertua dan
paling berprestij di Malaysia.

FAM sebelum ini pernah melantik pengadil luar pada final Piala FA 2019 melibatkan Perak dan Kedah di venue sama.

Mereka terdiri daripada tiga pegawai perlawanan dari Jepun iaitu Takuto Okabe selaku pengadil, dibantu Akane Yagi dan Osamu Nomura sebagai penolong pengadil 1 dan 2.


-- BERNAMA
 

Must Watch Video

Advertisement