Skip to main content

Malaysia

JPPM tahan lapan individu termasuk warga Indonesia terlibat pertubuhan tidak berdaftar

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia
JPPM memaklumkan semua individu yang ditahan dibawa ke IPD Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut dengan permohonan reman dibenarkan empat hari bermula hari ini. - Gambar fail

BUTTERWORTH: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) menahan lapan individu terdiri daripada tujuh warga asing dan seorang wanita tempatan dalam operasi penguatkuasaan ke atas sebuah pertubuhan tidak berdaftar di Taman Pelangi, Perai, di sini malam tadi. 

JPPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan serbuan pada 8.30 malam itu hasil risikan dan maklumat berkaitan aktiviti sebuah pertubuhan dikenali Persatuan Anak Rantau Indonesia (PARI) yang didakwa beroperasi tanpa pendaftaran sah mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Operasi yang diketuai pegawai penguat kuasa JPPM Pulau Pinang Inspektor Mohd Taufeeq Azmy melibatkan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan empat lelaki dan tiga wanita warga Indonesia serta seorang wanita tempatan yang dipercayai memegang jawatan dalam pertubuhan itu.

“Turut dirampas dalam operasi itu pelbagai barangan dipercayai berkaitan dengan aktiviti pertubuhan termasuk dokumen pentadbiran, kain rentang program, kad keahlian, cap rasmi persatuan serta beberapa unit telefon bimbit dipercayai bagi tujuan pengurusan dan komunikasi pertubuhan,” menurut kenyataan itu.

JPPM memaklumkan semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut dengan permohonan reman dibenarkan empat hari bermula hari ini. 

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966.

JPPM memaklumkan kes itu peringatan bahawa mana-mana pihak yang menubuhkan atau mengendalikan pertubuhan tanpa kelulusan dan pendaftaran sah boleh dikenakan tindakan tegas selaras dengan undang-undang.

“JPPM akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan demi memelihara ketenteraman awam serta keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement