Skip to main content

Dunia

Salah mampu beraksi sehingga usia 40 tahun - Klopp

Liverpool's Mohamed Salah applauds the fans as he is substituted during the English FA Cup fourth round soccer match between Liverpool and Brighton and Hove Albion in Liverpool, England, Saturday, Feb. 14, 2026. (AP Photo/Jon Super)
Musim depan bakal menjadi pertama kali sejak 2016 skuad Liverpool memulakan kempen tanpa Salah. - Gambar/ AP

BEKAS pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, percaya Mohamed Salah masih mampu bermain di peringkat tertinggi selama enam hingga tujuh tahun lagi selepas penyerang Mesir itu mengumumkan pengundurannya dari kelab pada penghujung musim ini.

Klopp, yang membawa Salah ke Anfield pada 2017 dari AS Roma, menyifatkan bintang berusia 33 tahun itu sebagai “seorang profesional luar biasa” yang menetapkan standard baharu dalam aspek kecergasan, kerja keras dan penjagaan pemulihan pemain.

Sepanjang bersama Liverpool, Salah menjaringkan 255 gol dan kini berada di tempat ketiga dalam senarai penjaring sepanjang zaman kelab itu, lapor BBC.

Menurut Klopp, beliau tidak terkejut jika Salah mampu beraksi hingga usia 40 tahun memandangkan tahap profesionalismenya, malah bangga pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan karier pemain tersebut. 

Kedua-dua mereka menikmati era kejayaan besar dengan memenangi Premier League, Liga Juara-Juara, Piala FA, dua Piala Liga, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Klopp berkata hubungan antara Salah dan Liverpool adalah “perjanjian yang adil”, dan menegaskan keputusan untuk berpisah adalah tepat walaupun Salah masih berbaki setahun dalam kontraknya. 

Beliau menambah bahawa Salah telah memberi sumbangan luar biasa dan layak memilih destinasi seterusnya.

Walaupun mengakui Salah “tidak boleh digantikan”, Klopp menasihatkan Liverpool supaya mencari pendekatan baharu dan membina semula struktur serangan tanpa bergantung kepada profil unik pemain itu. 

Musim depan bakal menjadi pertama kali sejak 2016 skuad Liverpool memulakan kempen tanpa Salah.

Klopp turut mengenang hubungan rapat mereka, termasuk perbincangan dan perselisihan pandangan yang dianggap sebagai perkara biasa dalam usaha mencapai kejayaan bersama. 

Beliau yakin legasi dan rekod jaringan Salah di Liverpool sukar ditandingi mana-mana pemain era Premier League moden.

Salah bakal kembali ke Anfield hujung minggu ini sebagai sebahagian daripada aksi amal LFC Legends menentang Dortmund Legends, dengan Klopp turut menjadi sebahagian daripada pasukan pengurusan acara tersebut.


 

Must Watch Video