ISTANBUL: Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Mattias Grafstrom, memaklumkan, badan induk bola sepak dunia itu mengadakan pertemuan yang konstruktif dan positif dengan Persatuan Bola Sepak Iran (FFIRI), sekali gus menyatakan keyakinan terhadap penyertaan negara itu dalam Piala Dunia tahun ini.
Menurut Grafstrom, beliau telah mengadakan pertemuan bersama Presiden FFIRI, Mehdi Taj pada Sabtu, sambil menyatakan FIFA kini bekerjasama rapat dengan pihak Iran menjelang kejohanan tersebut.
“Kami telah mengadakan pertemuan yang sangat baik dan konstruktif bersama Persatuan Bola Sepak Iran. Kami bekerjasama rapat dan sangat menantikan kehadiran mereka dalam Piala Dunia FIFA,” katanya ketika lawatan ke Istanbul.
Iran dijadualkan beraksi dalam kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan di Amerika Syarikat (AS), namun penyertaan pasukan itu dipersoalkan susulan serangan oleh AS dan Israel ke atas Iran pada penghujung Februari lalu.
Isu visa dan keselamatan
Ketidakpastian itu meningkat apabila Presiden FFIRI, Mehdi Taj dilaporkan tidak dibenarkan memasuki Kanada bagi menghadiri Kongres FIFA di Vancouver awal bulan ini, berikutan kaitannya dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Amerika Syarikat dan Kanada yang menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia bersama Mexico, mengklasifikasikan IRGC sebagai entiti pengganas dan menegaskan bahawa individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan itu tidak akan dibenarkan memasuki negara mereka.
Grafstrom bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai status visa pemain Iran, namun memaklumkan, kedua-dua pihak telah membincangkan beberapa perkara operasi dan mengadakan pertukaran pandangan yang positif.
Iran puas hati dengan pertemuan
Sementara itu, Taj berkata, pihaknya berpuas hati dengan pertemuan bersama FIFA dan menyatakan semua isu yang dibangkitkan telah diberi perhatian.
“Saya berasa gembira kerana mereka mendengar pandangan Iran, kesemua 10 perkara yang kami kemukakan, dan mereka turut menawarkan penyelesaian bagi setiap isu tersebut.
“Saya berharap, Insya-Allah, pasukan kebangsaan kami dapat menyertai Piala Dunia tanpa sebarang masalah dan mencapai keputusan yang baik,” katanya.
Ketika ditanya sama ada FIFA telah mendapatkan jaminan berhubung kemasukan dan pengurusan visa pemain Iran, Grafstrom sekali lagi enggan memberikan butiran lanjut.
“Kami telah membincangkan semua perkara berkaitan, tetapi ini bukan tempat untuk memperincikan perkara tersebut. Secara keseluruhan, pertemuan ini sangat positif dan kami akan teruskan dialog,” katanya.
Iran mohon pindah venue perlawanan
Dalam perkembangan berkaitan, Iran dilaporkan memohon agar perlawanan Piala Dunia mereka dipindahkan ke Mexico, namun Presiden FIFA, Gianni Infantino menegaskan, semua perlawanan akan berlangsung mengikut jadual dan lokasi asal yang telah ditetapkan.
Skuad Iran dijadualkan berlepas dari Tehran ke Turkiye pada Isnin untuk menjalani kem latihan, sebelum bergerak ke pangkalan mereka di Amerika Syarikat, di Kompleks Sukan Kino, Tucson, Arizona pada awal Jun.
Iran dijangka memulakan kempen Piala Dunia menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun, sebelum berdepan Belgium dan Mesir dalam Kumpulan G. - Agensi