Skip to main content

Malaysia

Guru tadika, suami didakwa aniaya anak saudara

Sepasang suami isteri yang merupakan kelindan lori dan guru tadika didakwa atas pertuduhan menganiaya anak saudara lelaki di Machang pada 19 April lalu.
Pasangan tersebut didakwa bersama-sama menganiaya kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun sebulan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal. -Foto Sinar Harian

KOTA BHARU: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas pertuduhan menganiaya anak saudara lelaki mereka di Machang, bulan lalu.

Tertuduh, Wan Saiful Azuan Wan Idris, 31, dan Yujas Nor Aida Jasmin Mohd Yusoff, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.

Kedua-duanya mengaku faham pertuduhan sebelum memohon untuk dibicarakan, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, pasangan tersebut didakwa bersama-sama menganiaya kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun sebulan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 10 malam pada 19 April lalu di sebuah rumah di Kampung Sungai Mas, Machang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran dua bulan sekali.

Mahkamah menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad manakala pasangan itu diwakili peguam Mohd Taufikrullah Rusli dan Muhd Zulfaqar Saharrudin.

Difahamkan mangsa kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah sehingga Jun sebelum diserahkan kepada neneknya.

Sebelum ini, media melaporkan pasangan berkenaan direman tujuh hari selepas disyaki melakukan penderaan terhadap mangsa.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata penahanan dibuat susulan laporan polis oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Bakar.

 

Must Watch Video