Skip to main content

Dunia

F1 batalkan GP Bahrain, Arab Saudi susulan perang berlarutan

FILE PHOTO: Formula One F1 - Bahrain Grand Prix - Bahrain International Circuit, Sakhir, Bahrain - April 13, 2025 General view of the race during a safety car REUTERS/Hamad I Mohammed/File Photo
Litar Antarabangsa Bahrain di Sakhir, Bahrain, 13 Apr 2025. - Gambar fail/REUTERS

PERLUMBAAN  Grand Prix di litar Bahrain dan Saudi Arabia telah dibatalkan susulan konflik yang semakin memuncak di rantau Asia Barat, menurut pengurusan Formula One hari ini.

Perlumbaan di Bahrain yang dijadual berlangsung pada 12 April serta Grand Prix Arab Saudi pada 19 April dibatalkan selepas pihak penganjur menghampiri tempoh kritikal untuk membuat keputusan berkaitan logistik.

Ia khususnya bagi mengelakkan lebih banyak peralatan perlumbaan dihantar ke Bahrain dalam keadaan keselamatan yang tidak menentu.

Dalam satu kenyataan bersama, badan induk sukan permotoran dunia, Fédération Internationale de l’Automobile (FIA) serta pengurusan Formula One memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira aspek keselamatan semua pihak yang terlibat.

Menurut Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem, keputusan berkenaan dibuat selepas pertimbangan teliti terhadap situasi semasa di rantau tersebut.

“FIA sentiasa meletakkan keselamatan dan kesejahteraan komuniti serta rakan sekerja kami sebagai keutamaan. Selepas pertimbangan yang teliti, keputusan ini diambil dengan mengambil kira tanggungjawab tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Litar Antarabangsa Bahrain di Sakhir yang dijadual menjadi lokasi perlumbaan terletak kira-kira 32 kilometer dari sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat yang dilaporkan pernah menjadi sasaran serangan Iran.

Selain itu, sebahagian peralatan pasukan Formula One juga dilaporkan masih terkandas di Bahrain sejak sesi ujian pramusim kerana tidak dapat dipindahkan keluar.

Keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pasukan serta penganjur untuk menghantar lebih banyak kelengkapan ke negara berkenaan kerana berisiko tidak dapat dipindahkan sekiranya situasi keselamatan bertambah buruk.

Dalam pada itu, Mohammed Ben Sulayem menyatakan Bahrain dan Arab Saudi kekal sebagai lokasi penting dalam kalendar perlumbaan Formula One.

“Bahrain dan Arab Saudi merupakan bahagian penting dalam ekosistem musim perlumbaan kami dan saya berharap dapat kembali ke kedua-dua negara itu sebaik sahaja keadaan mengizinkan,” katanya.

Susulan pembatalan kedua-dua perlumbaan tersebut, pihak penganjur menjangkakan tiada perlumbaan gantian akan diadakan memandangkan kesukaran mencari venue alternatif dalam tempoh singkat serta cabaran logistik yang terlibat.

Musim perlumbaan dijangka diteruskan dengan 22 pusingan, dengan jurang kira-kira lima minggu antara pusingan ketiga di Japan pada 29 Mac dan pusingan seterusnya di Miami pada 3 Mei.

Tempoh tersebut dijangka dimanfaatkan oleh pasukan untuk menambah baik jentera masing-masing selaras dengan peraturan baharu yang diperkenalkan dalam sukan berkenaan.

Must Watch Video