PUTATAN: Tiada halangan untuk ahli atau pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikenakan tindakan disiplin oleh parti untuk menyertai UMNO melalui inisiatif Rumah Bangsa.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu tertakluk kepada sama ada wujud atau tidak sebarang halangan di bawah Akta Lompat Parti, khususnya melibatkan wakil rakyat yang masih memegang jawatan.
"Jika tiada halangan dalam Akta Lompat Parti untuk menyertai UMNO, silakan. Kalau ada halangan, mereka kena atasi halangan itu.
"Halangan bukan daripada kami, mungkin daripada Akta Lompat Parti bagi ahli Parlimen yang sedang menjawat jawatan parlimen. Jika akta menghalang, maka wajar akta itu dipinda bagi memudahkan mana-mana ahli parti yang dipecat oleh partinya untuk memilih mana-mana parti yang ingin mereka masuk," katanya semasa ditemui pemberita di Wisma Pan Borneo di sini pada Rabu.
Ahmad berkata, UMNO terbuka menerima kemasukan mana-mana individu yang ingin kembali bersama parti itu selaras dengan pendirian yang telah dinyatakan pucuk kepimpinan parti.
"Kita terima semua tanpa sebarang syarat sebagaimana yang dinyatakan presiden," katanya.
Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa berkata, usaha memperkukuh inisiatif Rumah Bangsa di Sabah turut digerakkan secara lebih proaktif menerusi penubuhan jawatankuasa khas di peringkat negeri bagi meneliti permohonan bekas ahli dan pemimpin parti yang berhasrat untuk kembali menyertai UMNO.
Beliau berkata, jawatankuasa itu berperanan mengemukakan pandangan serta cadangan kepada kepimpinan pusat, khususnya membabitkan pemimpin di Sabah yang sebelum ini keluar parti atau dikenakan tindakan disiplin.
"Kita ada Jawatankuasa Rumah Bangsa di Sabah dan mereka bermesyuarat semalam. Kita menunggu cadangan serta pandangan mereka mengenai pemimpin-pemimpin di Sabah yang keluar daripada UMNO atau diambil tindakan disiplin untuk masuk kembali.
"Di negeri lain tiada jawatankuasa kecil ini, tetapi Sabah proaktif. Mana-mana ahli boleh terus ke pusat, hanya perlu memberikan sekeping surat menyatakan ingin menyertai kembali dan secara umumnya kita terimalah. Termasuklah pemimpin yang dipecat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli Parlimen, dipersilakan," katanya. -- Sinar Harian