Skip to main content

Malaysia

Penamaan calon bagi Pilihan Raya Parlimen Belia diadakan pada 8 Ogos - Johari

TEMERLOH, 13 Mei -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul (duduk, dua, kiri) bergambar bersama peserta pada Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI Bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Zon Timur Negeri Pahang hari ini.  --fotoBERNAMA
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul (duduk, dua, kiri) bergambar bersama peserta pada Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI Bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Zon Timur Negeri Pahang hari ini. - Foto BERNAMA

TEMERLOH: Penamaan calon bagi Pilihan Raya Parlimen Belia telah ditetapkan pada 8 Ogos untuk memberi peluang kepada mereka yang dipilih mengikuti persidangan Dewan Rakyat yang bersambung pada Oktober depan.  

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata inisiatif itu antara lain bagi memberi pendedahan awal kepada generasi pelapis berkenaan institusi Parlimen.

“Ini adalah usaha untuk memperkukuh masa depan negara dengan memberi peluang kepada anak muda memahami fungsi dan peranan Parlimen sejak awal lagi,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama petugas Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), di sini, hari ini.

Johari berkata setakat ini sebanyak 12 parti telah mendaftar bagi pilihan raya berkenaan melibatkan pelajar universiti. 

"Pendaftaran parti masih lagi dibuka untuk mana-mana belia berumur 18 hingga 30 tahun yang bukan mahasiswa untuk menubuhkan parti masing-masing," katanya.

Mengenai pemilih, beliau berkata pengundi Parlimen Belia tidak diterima secara automatik malah perlu mendaftar menerusi saluran yang disediakan dengan 300,000 individu disasarkan untuk mengundi.

Katanya, selain promosi melalui media sosial, beliau sendiri akan turun menjelajah ke seluruh Malaysia untuk menarik minat selain memberikan pendedahan secara bersemuka kepada golongan muda.

Mengenai program hari ini, Johari berkata ia merupakan antara usaha untuk memberi gambaran serta kefahaman mengenai pelaksanaan dan peranan Parlimen Belia dalam melahirkan generasi muda yang celik demokrasi dan kepimpinan kepada penduduk setempat. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video