Skip to main content

Malaysia

Abd Halim tekad pacu SPRM lebih bebas, bertindak tanpa pilih kasih

DATO’ Sri Abd Halim Aman hari ini secara rasmi melapor diri dan memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.
Bagi memulihkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM, Abd Halim berkata, aspek penguatkuasaan akan dipertingkat selain memastikan setiap siasatan dilaksana secara profesional dan telus. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman menegaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dipacu berteraskan kedaulatan undang-undang, lebih tegas, berwibawa dan bebas sepenuhnya.

Beliau berkata, pengalaman dalam institusi kehakiman akan menjadi asas kepada kepimpinannya bagi memastikan proses keadilan tidak digugat dalam apa jua keadaan, sekali gus memastikan SPRM dapat bertindak tanpa gentar dan pilih kasih. 

“Ingin saya tegaskan dengan sekeras-kerasnya juga, rasuah dalam apa juga bentuk adalah sama sekali tidak boleh diterima. Ia merupakan pengkhianatan terbesar terhadap rakyat serta ancaman parah kepada masa depan negara.

“Saya juga akan memastikan SPRM di bawah kepimpinan saya, akan bertindak dengan ketegasan yang lebih mutlak, keadilan yang saksama dan tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa tanpa mengira pangkat, kedudukan mahupun pengaruh,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bagi memulihkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM, Abd Halim berkata, aspek penguatkuasaan akan dipertingkat selain memastikan setiap siasatan dilaksanakan secara profesional dan telus.

Jelasnya, langkah pencegahan rasuah akan terus diperkasa termasuk memperkukuh perlindungan pemberi maklumat serta meningkatkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Pemulihan keyakinan masyarakat ini bukan satu pilihan tetapi merupakan suatu tuntutan yang tidak boleh ditangguhkan bagi memastikan SPRM kekal teguh, telus dan bertanggungjawab berpaksikan sepenuhnya kepada kedaulatan undang-undang,” ujarnya.

Rentetan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersatu menolak rasuah demi membina negara yang berteraskan integriti, keadilan dan kepercayaan.

Abd Halim memulakan tugas secara rasmi pada Rabu, menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan perkhidmatan pada Selasa selepas 42 tahun berkhidmat dalam SPRM.

Abd Halim dilantik menggantikan Azam menerusi surat pelantikan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 25 April lalu.

Menurut kenyataan SPRM, Abd Halim dilantik bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa mulai 13 Mei 2026 hingga 12 Mei 2028.

Must Watch Video