KUALA LUMPUR: Inisiatif “Rumah Bangsa” oleh UMNO dilihat sebagai pendekatan luar biasa bagi memperkukuh parti itu di Semenanjung dan Sabah, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata usaha itu juga bertujuan memastikan UMNO terus relevan bukan hanya ketika musim pilihan raya tetapi sepanjang masa.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata sebuah jawatankuasa khas telah diwujudkan bagi menguruskan permohonan termasuk daripada pemimpin yang telah dipecat atau keluar parti untuk menyertai semula UMNO.
“Pendekatan kami adalah untuk ‘memaafkan dan melupakan’. Ketika ada parti lain mengambil tindakan memecat ahli, kami pula membuka ruang untuk menerima mereka kembali,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media dan juga Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sarawak di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata beberapa tokoh telah menunjukkan minat untuk kembali menyertai UMNO dan pengumuman lanjut akan dibuat dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid sebelum ini berkata inisiatif “Rumah Bangsa” terbuka kepada semua tanpa mengenakan sebarang syarat, termasuk bekas pemimpin UMNO.
Dua bekas pemimpin kanan UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaludin dilaporkan telah mengemukakan surat permohonan untuk kembali menyertai parti itu, yang disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki menerusi hantaran di Facebook semalam.
-- BERNAMA