KUALA LUMPUR: Band indie rock dari Ireland Utara, Two Door Cinema Club bakal mengadakan konsert sempena jelajah 15th Anniversary Tour pada 19 Ogos 2026 di Mega Star Arena, di sini.
Konsert itu akan menampilkan persembahan penuh album ikonik mereka, Tourist History, di samping beberapa lagu popular lain seperti What You Know, Undercover Martyn dan Something Good Can Work.
Menurut wakil Faded Youth MY, penganjuran konsert ini dibuat berdasarkan kekuatan fanbase Two Door Cinema Club di Malaysia serta permintaan tinggi terhadap persembahan antarabangsa yang membawa nilai nostalgia.
“Two Door Cinema Club mempunyai pengikut yang sangat kuat di Malaysia. Konsert ini bukan hanya tentang membawa sebuah band antarabangsa ke Kuala Lumpur, tetapi tentang meraikan satu era muzik yang dekat dengan ramai peminat.
"Kami percaya malam ini akan menjadi antara konsert indie antarabangsa paling dinantikan pada 2026,” kata wakil Faded Youth MY.
Dilancarkan pada 2010, Tourist History merupakan album yang melonjakkan nama kumpulan berkenaan ke peringkat antarabangsa serta menjadi antara karya penting dalam genre indie dekad lalu.
Two Door Cinema Club yang dianggotai Alex Trimble, Sam Halliday dan Kevin Baird dikenali dengan gabungan bunyi indie rock dan dance-pop yang bertenaga, selain memiliki pangkalan peminat global yang kukuh termasuk di Malaysia.
Dalam kenyataan sama, kumpulan itu menyifatkan konsert tersebut sebagai peluang istimewa untuk mempersembahkan kembali karya yang menjadi titik perubahan dalam kerjaya mereka.
Tambah kenyataan lagi, persembahan penuh menerusi album ini sangat bermaka buat Two Door Cinema Club lebih-lebih lagi selepas sekian lama tidak kembali ke Kuala Lumpur.
Tiket konsert akan mula dijual pada 23 Mei 2026, jam 10 pagi menerusi platform Ticket Empire, dengan harga bermula RM240 hingga RM320, tidak termasuk caj pemprosesan.