SHAH ALAM: Tiga pemimpin kanan Pas Selangor berkeupayaan untuk dipilih sebagai calon Pengerusi Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, ketiga-tiga tokoh itu bukan sahaja berpengalaman luas, malah mempunyai rekod kepimpinan, integriti serta keupayaan mentadbir yang diperlukan untuk membawa Selangor ke tahap lebih baik.
Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Dr Halim Tamuri merupakan tokoh ilmuwan berwibawa yang dilihat mampu menyatukan pelbagai pihak menerusi pendekatan kepimpinan berasaskan ilmu dan hikmah.
"Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan serta pentadbiran, selain kini memegang jawatan Pesuruhjaya Pas Selangor dan bekas Rektor KUIS (Kolej Universiti Islam Selangor)," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Selain itu, katanya, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi turut disifatkan sebagai calon berpotensi berdasarkan pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan negeri serta keupayaannya mendekati rakyat.
Beliau memberitahu, Ahmad Yunus dikenali sebagai 'doktor rakyat' dan pernah berkhidmat sebagai Exco Kanan Kerajaan Selangor.
"Kini beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahli Parlimen Kuala Langat dan ADUN Sijangkang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Datuk Iskandar Abdul Samad pula dikenali sebagai figura berprinsip dengan rekod tadbir urus yang kemas dan teliti.
"Pengalaman beliau sebagai Exco Kanan kerajaan Selangor selama dua penggal membuktikan keupayaannya dalam pentadbiran negeri, selain kini memegang jawatan Bendahari Pas Pusat,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamed Sukri menegaskan, pemilihan kepimpinan yang tepat amat penting bagi memastikan PN Selangor terus relevan dan berupaya menawarkan pentadbiran lebih baik kepada rakyat negeri ini.
"Selangor memerlukan kepimpinan yang bersih, stabil, berwawasan dan mampu menyelesaikan masalah rakyat dengan bijaksana.
"Jika dinilai dari sudut kelayakan, pengalaman serta integriti, ketiga-tiga tokoh ini sememangnya layak berada di barisan hadapan memimpin masa depan negeri," tambah beliau. - Sinar Harian