Skip to main content

Malaysia

'Imran Koyube' dipenjara setahun, satu sebatan kes tipu pakej pelancongan

PDRM

SABAK BERNAM: Individu dikenali sebagai 'Imran Koyube' dipenjara setahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Sungai Besar pada Selasa selepas mengaku bersalah atas pertuduhan penipuan pakej pelancongan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penipuan menggunakan nama sebuah syarikat pelancongan pada 26 Disember tahun lalu.

Menurutnya, susulan laporan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Bertindak atas siasatan dijalankan, suspek berjaya ditahan pada 24 April lalu.

"Suspek kemudian direman selama empat hari bagi membantu siasatan sebelum dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Besar pagi semalam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.


"Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun serta satu sebatan terhadap tertuduh," katanya.

Terdahulu, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan dan direman selama empat hari sehingga 28 April untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang wanita mendakwa identitinya terus digunakan untuk urusan hutang oleh suspek yang juga bekas suaminya tanpa pengetahuan.

Dalam pada itu, kes penipuan melibatkan individu terbabit turut mendapat perhatian selepas pendedahan tular di media sosial.

Menerusi hantaran tersebut, suspek didakwa pernah terlibat dalam kegiatan penipuan sebelum ini sebelum kembali aktif menggunakan identiti dan nama agensi berbeza. - Sinar Harian

Must Watch Video