KUALA LUMPUR: Jika Perikatan Nasional (PN) berhasrat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, usaha menawan Selangor perlu dijadikan keutamaan strategik.
Perkara itu ditegaskan Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Samad yang menyifatkan negeri berkenaan sebagai penentu arah politik nasional berdasarkan pola sejarah pilihan raya terdahulu.
Menurut beliau, kemenangan gabungan pembangkang menawan Putrajaya pada 2018 bukan berlaku secara mendadak, sebaliknya dibina melalui kejayaan konsisten di Selangor sejak PRU 2008 dan 2013.
"Walaupun ketika itu belum terbentuk secara rasmi sebagai Pakatan Harapan, parti-parti yang akhirnya membentuk kerajaan Persekutuan telah pun mengukuhkan kedudukan mereka di Selangor lebih awal.
"Ini membuktikan Selangor bukan sekadar negeri maju, tetapi juga penentu arah politik nasional.
"Selangor adalah kunci. Tanpa Selangor, jalan ke Putrajaya akan terus sukar," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Iskandar berkata, walaupun Selangor hanya mempunyai 22 kerusi Parlimen, pengaruhnya jauh lebih besar kerana mencerminkan sentimen pengundi di Pantai Barat Semenanjung yang padat dan berpengaruh dalam menentukan keputusan nasional.
Mengulas lanjut, Iskandar mengakui PN Selangor dilihat kehilangan momentum selepas pilihan raya lalu, sekali gus menuntut kepimpinan baharu membuktikan keupayaan mereka dengan segera.
"Pas sebagai parti teras di peringkat nasional perlu memainkan peranan lebih menyerlah dalam memperkukuh sokongan rakyat," katanya lagi.
Tambah beliau, pengundi kini semakin matang dan tidak lagi hanya bergantung kepada retorik politik semata-mata.
"Rakyat mahu melihat kehadiran yang konsisten, pembelaan yang nyata serta keprihatinan berterusan, bukan hanya menjelang pilihan raya," katanya.