KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan pelantikan Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya menggantikan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh memaklumkan keputusan melantik Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor dicapai susulan mesyuarat Biro Politik parti yang berlangsung semalam dan akan digandingkan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Biro Politik KEADILAN telah bermesyuarat dan bersetuju dengan beberapa penyusunan strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
Untuk rekod, pada 21 Jun 2025, Nurul Izzah dan Saifuddin dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR bagi penggal baharu kepimpinan parti.
Fuziah turut memaklumkan pelantikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi sebagai Pengarah Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memperkukuh penyelarasan strategi, operasi lapangan dan pemantauan gerak kerja parti.
Beliau berkata pelantikan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha menstruktur semula gerak kerja pilihan raya agar lebih tersusun dan menyeluruh di semua peringkat.
“Penyusunan ini juga merupakan kesinambungan kepada asas gerak kerja yang telah dibina sebelum ini, termasuk pengukuhan struktur pilihan raya, penyelarasan antara negeri dan cabang," kata Fuziah.
Selain itu, tambah beliau, penggunaan data dan teknologi turut dipertingkat melalui pengenalan sistem pilihan raya TERAS.
Kenyataan itu juga menjelaskan peranan Nurul Izzah yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti jentera serta pengukuhan gerak kerja parti.
Dalam perkembangan sama, Fuziah turut memaklumkan jumlah keahlian baharu PKR setakat April dan Mei mencecah 5,936 orang.