Skip to main content

Politik

Lebih ramai desak Rafizi berundur, pesan jangan tipu pengundi Pandan lagi

Protes, Rafizi Ramli_NGO
Faizan (paling kanan, depan) mendakwa pihaknya berjaya mengumpulkan lebih ramai peserta kali ini susulan peningkatan sokongan dan panggilan daripada orang ramai yang mahu menyuarakan bantahan - Foto NGO

KUALA LUMPUR: Lebih ramai peserta berhimpun dalam satu demonstrasi bagi mendesak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, supaya berundur daripada politik serta menghentikan dakwaan yang disifatkan sebagai fitnah dan janji yang didakwa mengelirukan pengundi Pandan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Aktivis politik, Faizan Mohd Nor, mendakwa pihaknya berjaya mengumpulkan lebih ramai peserta kali ini susulan peningkatan sokongan dan panggilan daripada orang ramai yang mahu menyuarakan bantahan.

Menurut beliau, peserta demonstrasi hadir untuk menyampaikan mesej bahawa Rafizi, didakwa gagal selepas diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat dan menteri.

“Mereka yang hadir mahu menyampaikan pesanan bahawa Rafizi (didakwa) gagal selepas diberi kuasa sebagai wakil rakyat dan menteri. Jadi, hentikan daripada terus menabur fitnah serta membuat janji yang mengelirukan, khususnya kepada pengundi Pandan.

“Mereka juga mahu menegaskan bahawa negara akan lebih stabil tanpa kenyataan yang dianggap mengelirukan, dan tidak mustahil lebih ramai rakyat, terutama pengundi Pandan, akan turun menyertai demonstrasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, sekumpulan kira-kira 10 individu mengadakan protes di hadapan pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd serta menyerahkan memorandum menggesa Rafizi berundur daripada dunia politik.

Sementara itu, pengasas PKR, Ng Lum Yong, yang turut hadir menyokong demonstrasi berkenaan, berkata kenyataan Rafizi kebelakangan ini dilihat semakin agresif dan berpotensi mengelirukan rakyat.

“Kenyataan beliau lebih kepada kepentingan peribadi, bukan untuk menyelamatkan negara,” jelas Lum Yong lagi.
 

Must Watch Video