PUTRAJAYA: Sebanyak empat siri operasi pembenihan awan (OPA) yang menumpukan kawasan selatan Semenanjung, iaitu Melaka dan Johor dilaksanakan bermula hari ini hingga Khamis (23 April).
Diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), operasi berkenaan susulan cuaca panas dan kering di beberapa kawasan di kedua-dua negeri itu yang telah memberikan kesan kepada kehidupan harian penduduk, terutamanya dari aspek kelangsungan perkhidmatan bekalan air, pertanian, pekebun kecil dan keselamatan.
NADMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan OPA kali ini memberikan tumpuan kepada lapan empangan dan dua Loji Rawatan Air (LRA) di Melaka dan Johor bagi menjamin kelangsungan bekalan air kepada penduduk.
“Tumpuan utama di Melaka termasuklah Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan, manakala di Johor melibatkan Empangan Upper Layang, Empangan Machap, Empangan Seluyut, Empangan Lebam, Empangan Linggiu, LRA Lokheng dan LRA Gembut.
“Kesinambungan operasi ini sangat perlu memandangkan paras simpanan air di kawasan empangan ini masih berada pada tahap waspada,” menurut NADMA.
NADMA memaklumkan pihaknya telah mendapat nasihat teknikal daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung kesesuaian ciri-ciri atmosfera sebelum pelaksanaan OPA.
Penilaian terhadap kesesuaian keadaan atmosfera penting bagi memastikan keberkesanan aktiviti penyemburan larutan garam (natrium klorida) ke dalam awan, khususnya dalam merangsang pembentukan awan hujan.
“Intervensi pembenihan awan ini amat diperlukan sebagai satu daripada langkah proaktif bagi mengelakkan krisis bekalan air mencapai tahap kritikal menjelang awal Mei 2026, sekali gus dapat memastikan kestabilan bekalan air untuk rakyat Melaka dan Johor kekal terjamin,” menurut NADMA.
Pesawat C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digunakan sepanjang operasi berkenaan dijalankan.
-- BERNAMA