Skip to main content

Malaysia

Mahkamah Rayuan tolak permohonan Indira Gandhi untuk kemuka bukti baharu

KUALA LUMPUR, 5 Feb -- Plaintif M Indira Gandhi hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi kes menyaman Ketua Polis Negara (KPN), PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan berhubung kegagalan menangkap bekas suaminya Patmanathan selepas lelaki itu melarikan anak mereka, Prasana Diksa.  --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Indira diwakili peguam Rajesh Nagarajan, manakala Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili Ketua Polis Negara, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak permohonan guru tadika M. Indira Gandhi untuk mengemukakan bukti baharu berhubung samannya terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga yang lain atas kegagalan mereka mengesan bekas suaminya, yang membawa lari anak perempuan mereka.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan, dalam keputusan sebulat suara, mendapati bahawa permohonan tersebut tidak menunjukkan sebarang keadaan yang membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk menerima bukti baharu itu.

Bukti baharu itu berkaitan penggunaan BUDI95 dan MyKasih SARA oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, yang sebelum ini dikenali sebagai K. Pathmanathan.

Hakim Mohamed Zaini, yang bersidang bersama Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, berkata bukti yang ingin dikemukakan oleh perayu dalam rayuan itu tidak tersedia semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi dan hanya timbul baru-baru ini selepas perbicaraan tersebut selesai.

Beliau berkata dalam keadaan sedemikian, syarat pertama di bawah Peraturan 7(3A)(a) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 telah dipenuhi, memandangkan bukti tersebut tidak tersedia dan tidak boleh diperoleh dengan usaha wajar kerana BUDI95 dan SARA100 hanya wujud selepas perbicaraan di Mahkamah Tinggi selesai

“Bukti yang ingin dikemukakan itu berkaitan dengan kejadian berlaku lama selepas tamatnya perbicaraan di Mahkamah Tinggi dan selepas pendengaran rayuan di hadapan mahkamah ini. Oleh itu, ia merupakan bukti mengenai peristiwa terkemudian.

“Bukti baharu itu walaupun benar, tidak bercanggah dengan mana-mana dapatan fakta dibuat oleh Mahkamah Tinggi, dan juga tidak menjejaskan asas kepada keputusan tersebut. Bukti tambahan ingin dikemukakan oleh perayu tidak berdasarkan peristiwa berlaku sebelum 27 Jan 2020. Oleh itu, kami menolak permohonan ini tanpa sebarang perintah mengenai kos,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini kemudian menetapkan 24 April untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh keputusan bagi rayuan utama.

Indira diwakili peguam Rajesh Nagarajan, manakala Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili Ketua Polis Negara, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

Indira merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman beliau bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa KPN ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Bador, cuai dalam jawatan awam kerana gagal melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Ipoh.

Beliau turut menuntut pengisytiharan bahawa tiga responden lain bertanggungjawab secara vikarius terhadap tort cuai itu, selain ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta faedah.

Prasana Diksa dibawa lari oleh Muhammad Riduan ketika berusia 11 bulan, tidak lama selepas beliau memeluk Islam.

Pada 2009, Muhammad Riduan menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan Indira dan memohon hak penjagaan di Mahkamah Syariah.

Pada 29 Jan 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penukaran agama ketiga-tiga anak Indira oleh bekas suaminya adalah batal dan tidak sah.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan penuh anak-anak tersebut kepada Indira.

Pada Mei 2014, Mahkamah Tinggi sivil di Ipoh mengeluarkan perintah komital supaya Muhammad Riduan ditangkap kerana menghina mahkamah berikutan kegagalannya memulangkan Prasana Diksa kepada Indira, dan turut mengeluarkan perintah pemulihan dengan mengarahkan pihak polis mencari kanak-kanak tersebut.

Indira kemudian memperoleh perintah mandamus di Mahkamah Tinggi pada September 2014 yang mewajibkan Ketua Polis Negara melaksanakan kedua-dua perintah mahkamah tersebut, namun Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan perintah mandamus itu sebelum Mahkamah Persekutuan pada April 2016 mengembalikan semula perintah mandamus bagi penangkapan Muhammad Riduan.

-- BERNAMA

Must Watch Video