Skip to main content

Malaysia

Malaysia kekal optimistik dengan prospek pertumbuhan 2026 - Akmal Nasrullah

PUTRAJAYA, 20 April -- Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir bercakap ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Hala Tuju Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Akmal Nasrullah bercakap ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Hala Tuju PADU di PICC hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia kekal optimistik dengan prospek pertumbuhan 2026 meskipun ketidaktentuan isu geopolitik global, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata tinjauan ekonomi Malaysia bagi 2026 menunjukkan keadaan yang lebih berdaya tahan berbanding beberapa negara lain.

“Saya berpandangan kita bermula dengan tempoh yang sangat baik pada 2025, dan pencapaian itu berterusan sehingga suku pertama 2026. Jadi, dari segi pertumbuhan, ini menunjukkan kegiatan ekonomi terus akan berkembang.

“Isu geopolitik memberi kesan kepada ekonomi kita, dari segi prospek kita mahu kekal positif untuk 2026 namun perlu berwaspada walaupun kita mempunyai daya tahan.

“Bagi Malaysia kita mempunyai daya tahan yang lebih baik berbanding beberapa negara lain namun pada masa sama jika kita terlalu selesa, keadaan itu boleh menjejaskan prestasi yang telah kita bina,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpuan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.

Mengenai inflasi, Akmal Nasrullah berkata walaupun berlaku kenaikan kecil dengan data terkini menunjukkan inflasi naik sedikit kepada 1.7 peratus pada Mac daripada 1.4 peratus pada Februari namun, situasi itu kekal terkawal berbanding negara lain.

"Dari segi inflasi, kita perlu lihat kepada bakul (tetap barangan dan perkhidmatan) atau perkara yang diambil kira dan dasar yang diamalkan kerajaan menunjukkan (dasar) meredakan inflasi bagi Mac berbanding dengan negara lain. Bagaimanapun, langkah itu bukan untuk kita mendabik dada. Kita tahu kesannya bukan lagi sekadar kepada bekalan bahan api.

“Kerajaan juga membina penampan atau usaha yang sebaik mungkin contohnya apabila ada insentif untuk pembajak memulakan penanaman, itu sedikit sebanyak (bertujuan) memastikan penanaman itu dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata selain itu kesan daripada inflasi mungkin lambat sedikit kerana Malaysia masih ada kekuatan dari segi inventori dan perkara yang lain.

Walaupun paras inventori semasa dan langkah sedia ada mungkin melambatkan kesan penuh inflasi, namun kenaikan kos input yang berterusan sama ada disebabkan harga lebih tinggi atau kekangan bekalan, akan membawa implikasi ekonomi yang lebih luas pada akhirnya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video