BATU PAHAT: Kerajaan Perpaduan diyakini mampu mengekalkan momentum prestasi cemerlang pentadbiran negara, dengan pendekatan kerjasama antara parti dilihat sebagai kunci utama yang menyukarkan pembangkang untuk mencabarnya.
Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata keyakinan itu bersandarkan kepada pencapaian kerajaan dari segi kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi sepanjang penggal ini.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata kesepaduan dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan telah menyumbang kepada peningkatan keyakinan pelabur, kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang kekal baik serta keupayaan mengawal inflasi.
“Kesemua ini menunjukkan prestasi Kerajaan Perpaduan berada di landasan tepat sebelum berhadapan cabaran luar seperti konflik di Asia Barat yang menjejaskan unjuran ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Sri Gading di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata pendekatan perpaduan perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
“Kalau kita kekalkan kerjasama dan gandingan kerja dalam konteks dan wadah Kerajaan Perpaduan, saya yakin tidak ada parti pembangkang dan polisi pembangkang mampu mencabar kami pada peringkat Persekutuan dengan pencapaian kerja yang sangat baik,” katanya.
Beliau berkata kestabilan politik dan kerjasama erat antara parti bukan sahaja memberi kelebihan kepada kerajaan, malah membolehkan fungsi semak dan imbang berjalan dengan lebih baik.
Mengenai persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, Dzulkefly berkata perbincangan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu dipercepat bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.
“Perbincangan harus diadakan segera supaya kita lebih bersedia dengan lebih jelas untuk menangani segala cabaran pilihan raya. Sudah ada perbincangan awal sebelum ini, cuma kita parti politik yang sentiasa berunding,” katanya.
Dzulkefly berkata keputusan akhir tetap bergantung kepada pertimbangan parti masing-masing termasuk rakan dalam Barisan Nasional (BN) di dua negeri itu.
“Apa juga bentuk kerjasama atau aturan pertandingan yang diputuskan, ia perlu memberi manfaat terbaik kepada negeri dan negara,” katanya.
-- BERNAMA