Skip to main content

Malaysia

KT01 selamat tiba di Madinah, buka tirai musim haji 1447H

Dato Syed Mohamad Bakri (4 dari kiri) bersama para petugas haji bersedia menyambut ketibaan jemaah KT001
Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman (4 dari kiri) bersama para petugas haji bersedia menyambut ketibaan jemaah KT01. - Astro AWANI

MADINAH: Seramai 284 jemaah haji Malaysia selamat tiba di bumi Madinah sebagai kumpulan pertama (KT01) bagi musim haji 1447H/2026M, sekali gus menandakan permulaan rasmi operasi haji tahun ini.  

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz pada jam 8.21 pagi waktu tempatan dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.09 pagi, Sabtu.

Seterusnya ketibaan jemaah di Hotel Emaar Royal sekitar jam 9.45 pagi disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman.

“Mewakili Kerajaan Malaysia dan Tabung Haji, saya ingin merakamkan rasa syukur atas ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di Madinah.

"Ini adalah hasil perancangan rapi, kerjasama erat dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta komitmen berterusan Tabung Haji dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan jemaah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Sabtu.

Tambah beliau, segala persiapan telah dilaksanakan secara menyeluruh agar jemaah dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah tanpa gangguan sepanjang tempoh di Madinah dan Mekah.

"Petugas Tabung Haji komited memastikan setiap jemaah bukan sahaja selesa dari segi kebajikan, malah dibimbing untuk mencapai haji yang mabrur, Insya-Allah,” katanya lagi.  

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para jemaah supaya menjaga kesihatan dan mematuhi segala panduan yang ditetapkan sepanjang berada di Tanah Suci.

“Jemaah dinasihatkan agar sentiasa menjaga kesihatan, memperbanyakkan ibadah serta mematuhi segala arahan yang ditetapkan sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.  

Sepanjang enam hari di Madinah, para jemaah akan mengikuti program yang telah disusun termasuk ziarah ke Masjid Nabawi, Makam Rasulullah SAW, Raudhah serta lokasi bersejarah di sekitar kota suci itu.  

Sementara itu, dua lagi kumpulan jemaah haji Malaysia dijangka tiba pada hari sama iaitu KT02 seramai 284 orang pada jam 2.10 petang dan KT03 seramai 357 orang pada jam 9.10 malam waktu tempatan.  

Operasi Haji 1447H/2026M dijangka membawa seramai 31,600 jemaah Malaysia secara berperingkat ke Madinah dan Mekah menerusi 100 penerbangan sewa khas yang dikendalikan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.

Must Watch Video