Skip to main content

Malaysia

Perpaduan kunci Malaysia bangkit sebagai ‘Harimau Asia’ - Ahmad Zahid

SHAH ALAM, 18 April -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Vaisakhi di Gurdwara Sahib Guru Nanak Shah Alam hari ini._BERNAMA
Malaysia berpotensi kembali digelar ‘Harimau Asia’ sekiranya rakyat bersatu dan mengetepikan perbezaan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Malaysia berpotensi kembali digelar ‘Harimau Asia’ sekiranya rakyat bersatu dan mengetepikan perbezaan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kekuatan negara tidak hanya bergantung kepada dasar ekonomi semata-mata, bahkan meliputi perpaduan rakyat dalam mendepani isu seperti kenaikan harga minyak dunia yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup.

“Kita bersama-sama menghadapi cabaran yang sedang kita hadapi sekarang ini. Kita bersama-sama untuk bukan sahaja berdoa tetapi berusaha menghadapi apa jua masalah dari segi kenaikan harga minyak yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan akhirnya akan menyebabkan kos sara hidup meningkat.

“Saya yakin Malaysia akan menjadi ‘Harimau Asia’ dalam ekonomi semula apabila kita bersatu hati menghadapi kesusahan ini. Ketepikanlah perbezaan agama dalam kalangan kita, apatah lagi perbezaan politik, perbezaan kepentingan… sama-sama kita membantu kerajaan supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Vaisakhi di Gurdwara Sahib Guru Nanak di sini hari ini, yang turut dihadiri presiden gurdwara itu Datuk Bhupindar Singh dan Presiden Parti Punjabi Malaysia (PPM) Datuk Gurjeet Singh Rhande.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perbezaan agama bukan penghalang untuk rakyat saling membantu dan perkara itu terbukti apabila institusi gurdwara tampil membantu mangsa banjir tanpa mengira latar belakang kaum dan agama ketika bencana banjir besar melanda Selangor pada Disember 2021.

“Kita lihat sendiri bagaimana gurdwara ini telah membantu mangsa banjir ketika rakyat memerlukan bantuan dan ini tidak hanya diberikan kepada mangsa-mangsa keturunan Sikh, Melayu, Cina, India dan apa sahaja bangsa yang menjadi mangsa dibantu oleh gurdwara di Shah Alam.

“Ini adalah satu isyarat, satu bahasa badan yang baik dan kita mesti ikut… bukan sahaja kerja-kerja yang baik ini tetapi ia diperlihatkan bukan hanya dengan ucapan, bukan hanya dengan tulisan tetapi dengan perbuatan ikhlas penganut-penganut Sikh di Shah Alam, di Selangor dan di seluruh Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid ketika mengulas mengenai Hari Vaisakhi berkata sambutan itu amat penting, bukan sahaja kepada masyarakat Sikh tetapi juga sebagai cerminan kepelbagaian perayaan keagamaan dan kebudayaan di Malaysia.

Beliau berkata sebagai sebuah negara majmuk, rakyat perlu terus memupuk sikap hormat-menghormati antara satu sama lain bagi memastikan keharmonian dan kestabilan negara sentiasa terpelihara.

“Malaysia adalah sebuah (negara yang mempunyai) masyarakat majmuk dan kita mesti menghormati semua agama. Untuk agama kita dihormati, kita juga perlu menghormati agama lain,” katanya.

Hari Vaisakhi diraikan oleh masyarakat Sikh bagi menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Sikh. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video