KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan berjalan seperti biasa susulan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir agar Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun meneruskan tugas.
Menurut Anwar, Menteri Besar akan kekal menjalankan tanggungjawab sehingga isu berkait Perlembagaan negeri diselesaikan mengikut lunas undang-undang.
“Permintaan Tuanku jelas supaya Menteri Besar terus menjalankan tugas dan menjaga kebajikan rakyat. Dalam hal ini, Menteri Besar akur dan akan terus berkhidmat sehingga isu perlembagaan negeri diselesaikan,” katanya ketika ditemui selepas majlis Temu Anwar bersama pelajar Universiti UCSI, pada Selasa.
Perdana Menteri menjelaskan, kemelut yang timbul bukan berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan negeri atau kepimpinan Menteri Besar, sebaliknya hasil daripada perbezaan tafsiran terhadap undang-undang negeri.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan untuk semua pihak memberi ruang kepada proses rundingan berjalan dengan baik dan matang.
“Saya fikir wajar kita beri ruang kepada semua pihak untuk berunding dengan baik,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa, sementara sebarang perubahan hanya akan dibuat sekiranya terdapat keperluan berdasarkan proses undang-undang.
“Kerajaan negeri berjalan seperti biasa. Saya telah minta Menteri Besar teruskan tugas, dan dalam masa sama proses undang-undang tidak terhalang. Kita juga tidak menghalang proses tersebut,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa setakat ini, isu pembubaran Dewan Undangan Negeri tidak timbul.
“Setakat ini tidak timbul soal pembubaran. Berdasarkan perbincangan dan pandangan Tuanku, semua urusan berjalan mengikut proses seperti biasa dan berlandaskan undang-undang,” jelasnya.