Skip to main content

Politik

Jentera PH Pulau Pinang diarah mula persiapan awal hadapi PRU

GEORGE TOWN, 18 Feb -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (lima, kanan) bersama Menteri Pendidikan yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fadhlina Sidek (tiga, kanan) menggaul Yee Sang pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang di Wisma Keadilan Pulau Pinang hari ini.  Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying (dua, kanan), Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin (kiri), Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang
Chow (lima, kanan) bersama Fadhlina (tiga, kanan) menggaul Yee Sang pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang di Wisma Keadilan Pulau Pinang pada Rabu. - Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Jentera Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang diarah memulakan persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang memandangkan baki tempoh penggal dijangka kurang dua tahun.

Pengerusi Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, fokus ketika ini adalah pengukuhan dalaman yang merangkumi penyusunan semula jentera, strategi gerak kerja serta pemantapan organisasi pada semua peringkat.

“Masa berlalu pantas, maka kita perlu mulakan persiapan untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang. Kita juga telah buat ketetapan untuk mempertahankan pemerintahan pada peringkat negeri dan juga peringkat pusat, itulah misi serta tanggungjawab berat kepada kita semua.

“Keputusan memulakan persiapan jentera lebih awal itu telah dibuat dalam mesyuarat awal Februari lepas dan bukan dipengaruhi faktor politik semasa mana-mana parti lain,” katanya semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka MADANI Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang di Wisma PKR, di Bayan Baru, di sini, pada Rabu.

Turut hadir Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR, Datuk Mohamad Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Menteri I dan barisan kepimpinan parti negeri.

Chow yang juga Ketua Menteri berkata, tahun ini tempoh penting untuk memperkukuh kekuatan parti, dan menambah baik prestasi pentadbiran kerajaan.

“Tempoh yang ada semakin singkat, jadi kita perlu mula bekerja sekarang supaya menjelang pilihan raya nanti kita dapat tunjukkan rekod prestasi pentadbiran yang meyakinkan rakyat,” katanya.

Dalam sidang media selepas itu, beliau berkata, keputusan sama ada PRU dan Pilihan Raya Negeri akan diadakan serentak atau tidak bergantung sepenuhnya kepada kepimpinan pusat, dan PH Pulau Pinang akan mematuhi sebarang ketetapan yang dibuat.

-- BERNAMA

Must Watch Video