Skip to main content

Malaysia

Letupan tong gas: Polis tahan dua lelaki bantu siasatan

Sumber: BERNAMA
Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden letupan tong gas sehingga mengakibatkan seorang peniaga maut di tapak ekspo Dataran Jam Besar, Sungai Petani, dalam kejadian sekitar 7.30 malam Khamis. - Gambar Bernama

SUNGAI PETANI: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden letupan tong gas sehingga mengakibatkan seorang peniaga maut di tapak ekspo Dataran Jam Besar, di sini, dalam kejadian sekitar 7.30 malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, beberapa tangkapan lagi akan dibuat dalam masa terdekat.

"Kita akan buat beberapa tangkapan lagi pada malam ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam insiden itu, seorang peniaga maut manakala tiga lelaki termasuk remaja berusia 15 tahun mengalami kecederaan.

Hanyan dalam masa sama meminta mana-mana mangsa yang turut mengalami kecederaan akibat insiden terbabit supaya tampil untuk membantu siasatan.

Jelasnya, penganjuran ekspo yang bermula 20 sehingga 26 Mei depan akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada siasatan yang sedang dijalankan.

Hanyan berkata, dalam kejadian tersebut, polis menerima panggilan sekitar jam 7.53 malam dari orang awam yang memaklumkan insiden terbabit.

"Siasatan awal mendapati ada satu lelaki terbaring yang telah disahkan kematiannya dengan kecederaan parah putus tangan kanan dan juga dada sebelah kanan.

"Kita dapati kejadian mungkin berlaku apabila satu tong yang mengandungi gas telah meletup dan serpihannya telah terpelanting dengan jarak 70 hingga 100 meter sehingga mengenai beberapa peniaga lain sehingga mengalami kecederaan," katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian seseorang dengan melakukan sebarang tindakan cuai.

Must Watch Video

Advertisement