Skip to main content

Politik

Bersatu pecat dua ADUN, gantung lima Ahli Parlimen

Bendera Bersatu
Tindakan itu diambil susulan pelanggaran terhadap Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika Bersatu yang didakwa dilakukan oleh mereka. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menggantung lima Ahli Parlimen mereka hari ini.

Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan berkata, pemecatan kedua-dua ADUN itu dibuat mengikut Fasal 22.5 dan berkuat kuasa serta-merta pada 8 Mei.

Tindakan itu diambil susulan pelanggaran terhadap Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika Bersatu yang didakwa dilakukan oleh mereka.

“Bahawa Yang Berhormat digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah tersebut bagi tempoh dua penggal pemilihan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara yang dipecat ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.

Sementara itu, lima Ahli Parlimen yang digantung ialah Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Kenyataan itu mengesahkan, ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain turut digantung.

Pada masa sama, tiga Ahli Parlimen menerima notis amaran pelanggaran disiplin parti iaitu Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Zakri Hassan (Kangar) dan Kalam Salan (Sabak Bernam).

“Pihak Lembaga Disiplin tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib yang lebih berat sekiranya tingkah laku ini berulang,” jelasnya.

Namun Mohd Radzi berkata, kesemua individu terbabit diberi ruang mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.

Pada 13 Februari, Bersatu bertindak memecat Timbalan Presiden ketika itu Datuk Seri Hamzah Zainuddin berserta 16 pemimpin utama yang lain.

Must Watch Video