Skip to main content

Politik

Anwar gesa kepimpinan PKR fokus kepada rakyat, elak perbalahan

KOTA BHARU, 18 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kiri) bersama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor (tiga, kanan) melihat sebahagian borang keahlian anggota Cabang yang baharu pada Mini Konvensyen KEADILAN Kelantan 2026 harii ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kiri) bersama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor (tiga, kanan) melihat sebahagian borang keahlian anggota Cabang yang baharu pada Mini Konvensyen KEADILAN Kelantan 2026 hari ini. - Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan kepimpinan pada setiap peringkat supaya tidak leka dan membuang masa dengan perbalahan remeh, sebaliknya fokus pada tanggungjawab mereka kepada rakyat.

Berucap pada Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026 di sini, beliau turut menyeru jentera parti supaya merapatkan barisan dan bersiap sedia bagi mendepani cabaran pilihan raya akan datang.

“Kita kena bersiap dari sekarang untuk berdepan dengan pilihan raya umum. Ikhtiar dan kerja perlu seiring daripada bertelingkah hal remeh-temeh dan jangan fikir masalah kerana ia tidak akan selesai,” kata beliau.

Perdana Menteri secara terbuka menyelar sikap segelintir pemimpin parti yang dilihat hanya bersemangat dan lantang ketika berkempen merebut jawatan, namun bertukar culas dalam melaksanakan tugas atau malas menghadiri mesyuarat selepas meraih kemenangan.

“Siapa yang rasa letih, beritahu, minta cuti. Parti ini bukan parti hak mana-mana orang. Parti ini hak rakyat, hak mereka yang mahu bekerja dan berjuang angkat nasib rakyat,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar berkata peruntukan akan disalurkan berdasarkan prestasi cabang, dengan keutamaan diberikan kepada cabang yang aktif dan berjaya menambah keahlian.

“Cabang yang tiada pertambahan ahli, tiada kegiatan, kita tidak akan beri peruntukan,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video