Skip to main content

Politik

AMK Johor cadang pilihan raya serentak, jimat kos, kurang beban

81734763702_PKR.jpg
Menurut AMK Johor, pilihan raya secara berasingan juga memerlukan rakyat memohon cuti, mengatur perjalanan pulang serta menanggung kos minyak dan tol selain menyusun semula urusan kerja dan keluarga untuk keluar mengundi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mencadangkan agar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Melaka diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi menjimatkan perbelanjaan serta mengurangkan beban rakyat. 

AMK Johor dalam kenyataan hari ini memaklumkan penganjuran pilihan raya secara berasingan akan melibatkan kos tinggi, selain membebankan rakyat yang perlu keluar mengundi beberapa kali dalam tempoh dekat.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan rekod kos pilihan raya yang lepas, PRU ke-15  menelan belanja sekitar RM1.01 bilion manakala PRN Johor pada 2022 membabitkan perbelanjaan RM96 juta dan PRN Melaka pada 2021 sekitar RM46 juta.

“Ini bermakna jika ketiga-tiganya diadakan secara berasingan, jumlah kos boleh mencecah sekitar RM1.152 bilion. Jika dibuat serentak, negara berpotensi menjimatkan sekitar RM142 juta.

“Wang sebesar itu boleh digunakan untuk membina rumah rakyat, membaiki sekolah daif, menaik taraf klinik, membantu keluarga susah atau menambah peruntukan kebajikan yang lebih memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” menurut kenyataan itu. 

Menurut AMK Johor, pilihan raya secara berasingan juga memerlukan rakyat memohon cuti, mengatur perjalanan pulang serta menanggung kos minyak dan tol selain menyusun semula urusan kerja dan keluarga untuk keluar mengundi.

“Jika pilihan raya negeri dan umum dibuat serentak, rakyat hanya perlu melalui proses itu sekali, lebih teratur dan lebih menjimatkan. AMK Johor berpandangan pilihan raya serentak adalah langkah lebih bertanggungjawab dan berpihak kepada rakyat,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu juga memaklumkan langkah berkenaan wajar dipertimbangkan ketika krisis di Asia Barat semakin meruncing dan ketidaktentuan ekonomi global terus menekan harga minyak, rantaian bekalan serta kos sara hidup.

“Malaysia tidak boleh terus berbelanja seolah-olah tiada kesan kepada negara. Inilah masa untuk berjimat cermat dan mengurus wang awam dengan lebih berdisiplin,” menurut kenyataan itu. 

Untuk rekod, selepas selesai PRN Sabah tahun lepas, negeri seterusnya menyusul mengadakan PRN adalah Melaka yang mana tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berakhir November ini, diikuti Sarawak (Disember) serta Johor pada Februari 2027.  

-- BERNAMA

Must Watch Video