CYBERJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong penuh cadangan agar Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dinaikkan taraf sebagai sebuah Jabatan Penguat Kuasa.
Beliau berkata, langkah tersebut adalah wajar memandangkan beban tugas dan tanggungjawab warga penguat kuasa KPDN yang semakin mencabar, terutamanya dalam mendepani isu penyeludupan rentas sempadan dan manipulasi barangan kawalan.
Berucap di Majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54 dan Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0 di sini pada Selasa, Ahmad Zahid memberi jaminan akan menyokong cadangan tersebut sekiranya ia dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri oleh Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali.
โSaya tahu peranan saudara dan saudari bukan kecil. Daripada isu kepenggunaan domestik sehinggalah kepada penyeludupan rentas sempadan, semuanya menjadi masalah yang perlu ditangani.
โAkhirnya, siapa yang dicari dan ditekan? Penguat kuasa juga yang dicari. Inilah benteng negara yang sebenarnya. Tanggungjawab semakin besar, namun pangkat belum tentu naik. Saya rasa jika diberikan kenaikan pangkat dan dinaikkan taraf kepada Jabatan, saudara dan saudari akan bekerja dengan lebih kuat lagi," katanya.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa penguat kuasa KPDN merupakan watak utama dalam mengekang ketirisan subsidi negara yang sering dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab demi keuntungan mudah.
Beliau memberikan contoh beberapa modus operandi yang dikesan termasuk minyak masak paket yang disorok dan dimanipulasi, tepung dan gula yang diseleweng dan petrol dan diesel yang diseludup tanpa kawalan ke luar negara.
"Apabila ini berlaku, yang rugi bukan sahaja kerajaan, tetapi rakyat secara keseluruhan. Oleh itu, saya akan mendorong supaya kelulusan ini (taraf Jabatan) dapat diberikan dengan segera oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA)," tambah beliau.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan agar KPDN tidak lagi hanya bergantung kepada kaedah penguatkuasaan konvensional dalam mendepani cabaran ekonomi global yang kompleks.
Menurut beliau, kerajaan hari ini mesti memanfaatkan sepenuhnya teknologi, data, dan risikan bagi memastikan setiap tindakan yang diambil adalah lebih pantas, tepat, dan berkesan.
"Pemerintah tidak boleh lagi bersifat semata-mata (tradisional).
โKita perlu lebih proaktif bagi memastikan kebajikan pengguna terus dilindungi," tegas beliau.