SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penjualan rokok dan minuman keras tidak sah bernilai RM2.13 juta hasil serbuan di 28 premis di sekitar negeri berkenaan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.
Pengarahnya, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata susulan itu, seramai 26 individu berusia antara 35 hingga 56 tahun disoal siasat dan dua warga asing telah dituduh di mahkamah.
“Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 38 premis diperiksa dan daripada jumlah itu 28 premis didapati menjual rokok dan minuman keras yang disyaki sebagai barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Rampasan melibatkan 96,879 paket bersamaan 1.75 juta batang rokok pelbagai jenama dan saiz, serta 26,375 tin atau botol (12,331.34 liter) minuman keras dianggarkan bernilai lebih RM2.13 juta termasuk cukai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hasil siasatan mendapati sindiket terbabit menggunakan modus operandi dengan menjual rokok serta minuman keras tidak sah itu secara tersembunyi dan mengedarkannya secara senyap kepada pelanggan tetap dengan harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
Muhammad Ilyas Queek berkata kesemua barang kes disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) akta sama.
Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai terus membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan termasuk melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain barangan selain menasihatkan masyarakat supaya tidak terbabit dalam aktiviti penyeludupan.
Beliau berkata orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam atau pejabat kastam terdekat dengan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.
-- BERNAMA