Skip to main content

Malaysia

Zahid mahu draf RUU Akta Penjagaan Ibu Bapa disedia dalam tempoh enam bulan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030
Ahmad Zahid ditemui selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (PTDSN) 2026–2030 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diminta menggubal dan membentangkan rang undang-undang (RUU) khusus berkaitan penjagaan warga emas kepada Kabinet dalam tempoh enam bulan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Penjagaan Ibu Bapa itu akan memberi penekanan terhadap tanggungjawab anak-anak dalam menjaga ibu bapa yang lanjut usia.

Menurut beliau, beberapa negara sudah melaksanakan undang-undang seumpama itu, namun Malaysia masih berada pada peringkat kajian.

“Saya telah meminta agar kementerian mengemukakan kertas cadangan pembentukan akta itu dalam tempoh enam bulan dari sekarang dan ia mesti dibawa ke Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (PTDSN) 2026–2030 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pembentukan RUU itu penting bagi memastikan nilai tanggungjawab sosial terhadap ibu bapa tidak semakin terhakis seiring kemajuan negara.

Menurut beliau, kerajaan juga akan meneliti pengalaman beberapa negara yang telah melaksanakan undang-undang berkaitan penjagaan ibu bapa sebelum merangka akta berkenaan.

“Kita mula melihat pengabaian terhadap ibu bapa yang tua, termasuk menghantar mereka ke rumah orang tua-tua dan meninggalkan mereka tanpa lawatan.

“Itu adalah satu pelepasan tanggungjawab yang sangat tidak dialu-alukan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, usaha menggubal akta baharu berkenaan penting memandangkan Malaysia kini sedang menuju ke arah masyarakat menua yang memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dalam aspek kebajikan serta penjagaan golongan terbabit.

Katanya, peningkatan jumlah warga emas turut membawa cabaran baharu kepada institusi keluarga.

“Dengan warga emas mencecah 8.0 peratus daripada populasi pada 2025, dasar sosial mesti melihat bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga aspek penjagaan, sokongan keluarga dan maruah hidup mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pendekatan lebih holistik dan bersepadu perlu dilaksanakan bagi memastikan kebajikan warga emas, keluarga serta golongan rentan terus terpelihara selaras dengan perubahan demografi negara.

Must Watch Video