Skip to main content

Malaysia

Warga emas maut dihempap pokok tumbang

81424342737_295x200.jpg
Seorang lelaki berusia sekitar 60- an maut apabila dahan sebatang pokok ru yang berada di bahu sebatang jalan tumbang dan menghempap van yang dipandunya.

Menurut saksi, mangsa yang dikenali sebagai Pak Cik Khamis berasal dari Kampung Ayer Hangat, Langkawi dikatakan dalam perjalanan melalui Persiaran Putra di sini.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari Khamis dikatakan turut menyebabkan bunyi dentuman yang kuat hingga kedengaran di kawasan Jeti Kuah yang berada kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Menurut Komander Operasi Pegawai Bomba Nor Mazlan Mohamed yang mengesahkan kejadian, seramai lapan anggota, dua Jentera FPT Persiaran Putra 1 dan Jentera EMRS Langkawi dikerah ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan orang ramai.

Pihak bomba bertindak memotong beberapa bahagian dahan pokok yang tumbang sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat memandu.

Bagaimanapun, keempat-empat penumpang lain yang berada di dalam van yang digunakan sebagai teksi terbabit  tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa pihak polis ke Hospital Besar Langkawi untuk dibedah siasat.

Must Watch Video