Skip to main content

Dunia

Rubio dakwa Cuba ancaman kepada AS, Havana tuduh ‘pembohongan’

U.S. Secretary of State Marco Rubio speaks during a press briefing in the James S. Brady Press Briefing Room at the White House in Washington, D.C., U.S., May 5, 2026. REUTERS/Kylie Cooper
Cuba disifatkan sebagai satu “ancaman keselamatan negara” kepada Amerika Syarikat dan kemungkinan untuk mencapai penyelesaian secara damai dilihat “tidak tinggi”, kata Rubio. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Cuba disifatkan sebagai satu “ancaman keselamatan negara” kepada Amerika Syarikat (AS) dan kemungkinan untuk mencapai penyelesaian secara damai dilihat “tidak tinggi”, kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas AS mengenakan pertuduhan bunuh terhadap bekas Presiden Cuba, Raul Castro berhubung insiden tembakan jatuh dua pesawat pada 1996 yang mengorbankan warga AS.

Rubio menegaskan bahawa Washington lebih mengutamakan “penyelesaian diplomatik”, namun memberi amaran bahawa Presiden Donald Trump mempunyai hak dan tanggungjawab untuk melindungi negaranya daripada sebarang ancaman.

Sementara itu, Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez menuduh Rubio menyebarkan “pembohongan” dan menegaskan pulau itu tidak pernah menjadi ancaman kepada AS.

Dalam sidang media pada Khamis, Rubio berkata diplomasi “masih menjadi keutamaan” dalam hubungan dengan Cuba, namun mengakui peluang untuk mencapainya amat tipis.

“Secara jujur, dengan pihak yang kita hadapi sekarang, kebarangkalian itu tidak tinggi,” katanya.

Rubio turut menuduh Cuba sebagai “salah satu penaja utama keganasan di rantau ini”, dakwaan yang dinafikan keras oleh Rodríguez menerusi hantaran di platform X.

Rodríguez mengkritik Rubio kerana cuba “mencetuskan pencerobohan ketenteraan” serta menuduh kerajaan AS bertindak “kejam dan sistematik” dalam menyerang negaranya.

Dalam masa sama, Cuba sedang berdepan krisis bahan api yang semakin meruncing, didakwa akibat sekatan minyak AS, selain tekanan daripada pentadbiran Trump untuk memeterai satu perjanjian.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, rakyat Cuba berdepan gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan serta kekurangan makanan.

Rubio berkata, negara itu telah menerima tawaran bantuan kemanusiaan bernilai AS$100 juta daripada Washington.

Trump sebelum ini berulang kali menekan Cuba dan secara terbuka membincangkan usaha untuk menjatuhkan rejim komunis negara itu.

Pertuduhan terhadap bekas Presiden Cuba pada Rabu dilihat sesetengah pihak sebagai mengingatkan kepada tindakan Trump terhadap Presiden Venezuela, Nicolas Maduro pada Januari lalu.

Ditanya sama ada dan bagaimana kerajaan AS akan membawa Castro ke negara itu untuk berdepan pertuduhan, Rubio enggan mendedahkan perincian.

“Saya tidak akan bercakap tentang bagaimana kami mahu membawanya ke sini. Jika kami memang berusaha ke arah itu, mengapa perlu saya dedahkan kepada media?” katanya.

Pemangku Peguam Negara, Todd Blanche yang mengumumkan pertuduhan itu di Miami pada Rabu berkata, pihak AS menjangkakan Castro akan hadir ke negara itu “secara sukarela atau melalui cara lain.”

Dalam perkembangan sama, Trump ketika bercakap di Oval Office, White House menyifatkan Cuba sebagai “negara gagal” dan berkata, pentadbirannya cuba membantu atas dasar kemanusiaan.

Beliau turut menyatakan bahawa rakyat Amerika berketurunan Cuba mahu kembali ke negara asal mereka bagi membantu memajukan Cuba.

“Presiden sebelum ini sudah melihat perkara ini selama 50 hingga 60 tahun tanpa hasil dan nampaknya saya mungkin orang yang akan melakukannya. Saya gembira untuk melaksanakannya,” kata Trump. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement