Skip to main content

Sukan

Malaysia Masters: Tang Jie-Ee Wei wakil tunggal beregu campuran mara ke suku akhir

KUALA LUMPUR, 21 Mei -- Beregu campuran negara Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei ketika menentang beregu campuran Indonesia Amri Syahnawi dan Nita Violina Maewah pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini.  Beregu negara menang 21-19 , 22-20.  --fotoBERNAMA(2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei (gambar) ketika menentang Amri Syahnawi dan Nita Violina Maewah pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 21 Mei 2026. --fotoBERNAMA(

KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi wakil tunggal negara dalam acara berkenaan mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 selepas menewaskan gandingan Indonesia Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah semalam.

Pada aksi yang berlangsung di Unifi Arena di sini, juara dunia berkenaan menewaskan gandingan ke-16 dunia itu menerusi kemenangan 21-19, 22-20 dalam tempoh 47 minit.

Tang Jie ketika mengulas mengenai aksi semalam mengakui bermain di laman sendiri dengan sokongan padu penyokong banyak membantu kejayaan mereka.

“Lawan bukan calang-calang pencabar, beregu Indonesia adalah pasangan dalam kelompok 20 terbaik dunia. Jadi, kami perlu sentiasa bersedia untuk perlawanan yang paling sukar,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Menanti Tang Jie-Ee Wei pada suku akhir hari ini ialah beregu pecah ganding China Gao Jia Xuan-Wei Ya Xin yang mara selepas menumpaskan wakil Thailand Supak Jomkoh-Ornicha Jongsathapornparn 21-13, 21-13.

Dalam pada itu, hasrat beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk mara ke suku akhir tidak kesampaian selepas dikejutkan pasangan ke-37 dunia Wu Guan Xu-Lee Chia Hsin dari Taiwan 19-21, 21-7, 19-21 dalam masa 52 minit.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement