KUALA LUMPUR: Warga Aceh hargai usaha sukarelawan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) One Malaysia menggunakan jengkaut untuk membersihkan kediaman mangsa banjir.
Sukarelawan Tenaga Kesejahteraan Sosial Kecamatan (TKSK), Fandi Irawan dari Pidie Jaya, Aceh, berkata kumpulan itu telah bertugas di lapangan selama sembilan hari.
Menurutnya, dengan menggunakan jengkaut, ia dapat mempercepat proses pembersihan, terutamanya ketika penduduk sebelum ini menghadapi kekangan peralatan.
“Bantuan ini sangat bermakna kerana rumah-rumah mereka dapat dibersihkan dengan segera; harta benda di dalam rumah dapat diselamatkan dan digunakan semula,” katanya ketika wawancara bersama Astro AWANI secara dalam talian pada Ahad.
Fandi berkata, NGO One Malaysia turut bekerjasama dengan pihak Tentera Negara Indonesia (TNI) dan Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
“Dulu kami kekurangan jengkaut hampir sebulan selepas kejadian bencana berlaku, sekarang pihak pemerintah telah memberikan banyak jengkaut yang digunakan oleh TNI dan BNPB dengan kerjasama One Malaysia,” katanya.
Difahamkan, sebelum inisiatif tersebut digerakkan penduduk terpaksa membayar sewa kepada pemilik jengkaut dan lori untuk membersihkan kediaman mereka.
Untuk rekod, kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh yang melanda beberapa wilayah di Aceh pada 26 November lalu telah mengakibatkan ribuan musnah dan ada yang tenggelam hampir satu meter.
Menurutnya, lebih 7,000 keluarga masih belum dapat kembali mendiami kediaman masing-masing susulan kerosakan melibatkan 4,079 rumah rosak teruk, 2,987 rosak sederhana dan 2,873 rosak ringan.
Pada masa sama, Fandi berpendapat kedatangan bulan Ramadan pada Khamis ini hadir dengan perasaan bercampur baur dalam kalangan mangsa yang tinggal di pusat pemindahan serta asrama hunian sementara (huntara).
“Kami harus jalani bulan Ramadan, jika di rumah kami dapat menyediakan makanan untuk bersahur dan berbuka puasa, namun di huntara kami hanya bersedia dengan apa yang ada sahaja,” katanya.