BUDAPEST: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio berikrar untuk memperkukuh kerjasama dengan negara-negara Eropah Tengah ketika memulakan lawatan ke Slovakia dan Hungary - dua negara yang dipimpin oleh kerajaan konservatif yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Donald Trump.
Dalam lawatan ke Bratislava pada Ahad (15 Feb), Rubio mengadakan perbincangan berkaitan tenaga dan pertahanan bersama Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, serta Presiden Peter Pellegrini.
Slovakia, seperti Hungary, masih bergantung kepada minyak dan gas Rusia dan mempunyai hubungan yang tegang dengan sebahagian negara Kesatuan Eropah (EU).
Ini merupakan lawatan pertama Setiausaha Negara AS ke negara berpenduduk 5.5 juta itu dalam tempoh tujuh tahun, yang juga berkongsi sempadan dengan Ukraine.
“Di bawah kepimpinan Presiden Trump, pentadbiran ini komited menjadikan bukan sahaja Slovakia tetapi seluruh Eropah Tengah sebagai komponen penting dalam pendekatan kami terhadap benua ini dan dunia,” kata Rubio.
Beliau menegaskan, Washington tidak sekadar mahu mengadakan mesyuarat bersifat simbolik, tetapi mahu melaksanakan kerjasama konkrit yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Seruan kerjasama selepas ketegangan Transatlantik
Pada Sabtu, Rubio yang turut berperanan sebagai penasihat keselamatan negara kepada Trump menyampaikan mesej perpaduan pada Sidang Keselamatan Munich, meskipun pentadbiran AS kekal dengan kritikan terhadap Eropah selepas setahun hubungan Transatlantik yang tegang.
Kritikan Trump terhadap negara EU, tindakan mengenakan tarif serta percubaan membeli Greenland daripada Denmark telah mendorong beberapa negara Eropah Barat mempertimbangkan hala tuju dasar luar yang lebih berdikari.
“Setiap negara akan bertindak mengikut kepentingan nasional masing-masing. Tetapi apabila kepentingan itu selari, ia membuka ruang kerjasama yang luar biasa,” ujar Rubio.
Fico, yang sebelum ini menyifatkan EU sebagai berada dalam “krisis mendalam”, melawat Trump di Florida bulan lalu dan memuji pemimpin Republikan itu sebagai ‘pembawa keamanan’.
Namun Fico dan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban yang bakal ditemui Rubio pada Isnin sering dituduh institusi EU sebagai melemahkan badan kehakiman, media serta usaha membanteras rasuah.
Kedua-dua pemimpin itu turut mengekalkan hubungan rapat dengan Moscow, pernah mengkritik dan menangguhkan sekatan EU terhadap Rusia, serta menentang bantuan ketenteraan kepada Ukraine.
Rubio dijadual bertemu Orban, sekutu rapat Trump di Eropah
Sebelum berlepas dari Washington pada Khamis, Rubio berkata, Trump amat menyokong Orban, yang kini ketinggalan dalam beberapa tinjauan pendapat menjelang pilihan raya April.
Orban, antara sekutu terdekat Trump di Eropah, sering dijadikan contoh oleh kelompok konservatif kanan di AS berikutan dasar imigresen yang tegas dan pendirian pro-nilai Kristian.
Budapest pula kerap menjadi tuan rumah kepada persidangan Conservative Political Action Conference (CPAC) dan satu lagi acara dijangka berlangsung pada Mac.
Walaupun kebanyakan negara EU mencari sumber tenaga alternatif selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022, Slovakia dan Hungary masih meneruskan pembelian gas dan minyak Rusia — sesuatu yang dikritik AS.
Rubio berkata, isu itu turut dibincangkan dalam lawatannya.
Kerjasama nuklear dan peningkatan pertahanan
Slovakia bulan lalu menandatangani perjanjian kerjasama nuklear dengan Amerika Syarikat.
Fico berkata, beliau berharap satu perjanjian dengan Westinghouse dapat dimuktamadkan tahun depan bagi membentuk konsortium untuk membina loji janakuasa nuklear baharu menjelang 2040.
Slovakia juga berhasrat membeli empat lagi jet pejuang F-16.
Hungary dan Slovakia telah menaikkan perbelanjaan pertahanan kepada 2 peratus daripada KDNK — masih rendah berbanding sasaran NATO iaitu 5 peratus menjelang 2035 seperti dipersetujui selepas tekanan dari Presiden Trump.
Walaupun Fico sehaluan dengan Washington dalam banyak isu, beliau mengkritik tindakan AS menahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, baru-baru ini. Rubio menolak perbezaan pandangan itu sebagai isu kecil.
“Ramai negara tidak menyukai apa yang kami lakukan di Venezuela, tapi itu dalam kepentingan nasional kami... namun itu tidak bermakna kita tidak boleh menjadi rakan,” kata beliau. - Agensi