SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, telah merasmikan sebuah daerah perumahan baharu di Pyongyang yang dibina khusus untuk keluarga anggota tentera yang terkorban dalam operasi ketenteraan di luar negara, lapor media rasmi KCNA pada Isnin.
Menurut laporan itu, Kim menghadiri majlis penyerahan rumah dan menyampaikan ucapan yang menekankan bahawa pembinaan kawasan tersebut melambangkan "semangat dan pengorbanan" para anggota tentera yang terkorban.
Beliau berkata rumah itu disediakan agar keluarga yang ditinggalkan dapat "berbangga dengan anak dan suami mereka, serta hidup dengan bahagia".
Projek perumahan untuk keluarga tentera gugur ini seiring dengan usaha lebih besar kerajaan Korea Utara membangunkan kawasan baharu dan meningkatkan taraf hidup penduduk Pyongyang, termasuk pembinaan kompleks perumahan besar di daerah Hwasong dan Saebyul.