Skip to main content

Malaysia

Wanita Malaysia terkandas di Lombok selama 18 tahun, pulang dengan selamat

PN NORIDA AKMAL BT AYOP BERSAMA ANAK PEREMPUANNYA DIBAWA PULANG KE MALAYSIA.
Norida Akmal Ayob, 45, (tengah) akhirnya selamat dibawa pulang ke tanah air pada Sabtu setelah 18 tahun terkandas di Lombok.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Malaysia yang terkandas di Lombok sejak sekian lama dan terpisah selama 18 tahun daripada keluarganya akhirnya selamat dibawa pulang ke tanah air pada Sabtu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah, berkata wanita berkenaan, Norida Akmal Ayob, 45, sebelum ini mengikut suaminya yang juga warga Indonesia ke Lombok bersama anak perempuan mereka sebelum menetap di sana.

“Namun, perkahwinan itu tidak berkekalan dan Norida akhirnya hidup bersendirian dalam keadaan susah dan serba kekurangan.

“Beliau mencari rezeki sebagai tukang sapu bagi meneruskan kehidupan bersama anak-anak selepas berpisah dengan suami yang berkahwin lain,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Ahad.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Norida bersama dua anaknya berjaya dibawa pulang hasil kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Jabatan Imigresen Malaysia serta pihak berkuasa Indonesia, khususnya imigresen.

Katanya, Norida mempunyai dua anak iaitu Nur Fateen Akmadiana yang lahir di Malaysia dan berstatus warganegara, manakala Muhamad Sabani Daniel pula warga Indonesia kerana dilahirkan di negara itu.

Shamsul Anuar berkata, beliau mengetahui hasrat Norida untuk pulang ke Malaysia selepas keluarga wanita itu dari Kampung Bukit Sapi, Lenggong datang menemuinya dan memaklumkan keadaan Norida yang serba kekurangan.

“Saya dimaklumkan anak-anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan dan hidup dalam keadaan terbiar,” katanya.

Beliau kemudian memulakan urusan dengan mendapatkan kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta Jabatan Imigresen Malaysia.

“Saya turut menghantar pegawai saya yang diketuai Datuk Dazma Shah Daud ke Lombok bersama Setiausaha Sulit saya bagi menguruskan kepulangan mereka.

“Alhamdulillah, kini Norida dan anak-anaknya selamat kembali ke tanah air,” katanya.

Must Watch Video