Skip to main content

Malaysia

Pengisian guru di Sabah capai 98.22 peratus

Pertemuan ini membuka ruang perbincangan yang konstruktif berkaitan pengurusan perkhidmatan pendidikan, pengukuhan tadbir urus, serta usaha berterusan dalam memperkasa profesion keguruan demi meningkatkan kualiti pendidikan di Sabah.
James menerima kunjungan hormat delegasi SPP yang diketuai Adzman bersama pegawai SPP dan turut hadir Hassan Mahali. - Gambar Facebook James Ratib

KOTA KINABALU: Pengisian guru di Sabah kini mencapai 98.22 peratus sekali gus memastikan kelancaran operasi sekolah di negeri ini, kata Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 86.75 peratus terdiri daripada anak-anak Sabah selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasakan bakat tempatan serta membina kekuatan sumber manusia pendidikan dari dalam negeri sendiri.

“Perkembangan ini mencerminkan keberkesanan penyelarasan dasar serta komitmen berterusan antara kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dalam memastikan keperluan tenaga pengajar sentiasa mencukupi dan berkualiti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu James menerima kunjungan hormat delegasi SPP yang diketuai Pengerusinya Datuk Adzman Talib bersama pegawai SPP dan turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) Datuk Hassan Mahali.

Kunjungan berkenaan bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan pendidikan negeri termasuk perbincangan mengenai pengurusan perkhidmatan pendidikan, pelantikan dan penempatan guru serta keperluan memperkasakan bidang kritikal yang menyokong agenda sains, teknologi dan inovasi Sabah.

Perkara lain dibincangkan ialah penekanan terhadap pembangunan bakat tempatan dan penguasaan bidang strategik yang dilihat penting dalam menyediakan generasi masa depan Sabah yang lebih berdaya saing.

Sementara itu, SPP dalam kenyataan bersama menegaskan komitmen untuk terus menyokong keperluan Sabah melalui pengurusan sumber manusia pendidikan yang efisien dan responsif.

Lawatan berkenaan turut memperkukuh penyelarasan antara peringkat Persekutuan dan negeri bagi memastikan sistem pendidikan Sabah terus maju, inklusif dan relevan dengan keperluan semasa.

-- BERNAMA

Must Watch Video