MELAKA: Usaha pembenihan awan di selatan Semenanjung, khususnya di Melaka akan dipertingkatkan melalui beberapa siri percubaan susulan selepas hasil awal didapati kurang memberangsangkan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata percubaan pembenihan awan yang dilaksanakan di Melaka kurang memberi impak berikutan faktor pergerakan angin yang menyebabkan awan tidak berada tepat di kawasan sasaran.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata susulan itu pihak berkaitan akan melaksanakan percubaan kali kedua dan ketiga bagi meningkatkan jumlah taburan hujan, sekali gus membantu menambah bekalan air di Melaka.
“Ketua Menteri (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) memaklumkan kepada saya bahawa percubaan kali kedua dan ketiga akan dilaksanakan sehingga situasi di empangan dapat dipertingkatkan.
“Maklumat yang diterima menunjukkan kemungkinan faktor angin telah mengalihkan awan dari kawasan sasaran,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri Duyong di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata pelaksanaan operasi itu melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara serta agensi pelaksana berkaitan.
Beliau berkata usaha berkenaan penting bagi membantu kerajaan Melaka mengurangkan kebergantungan kepada sumber air luar seperti Sungai Gersik di Muar, Johor, selain memastikan bekalan air tempatan lebih stabil.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan operasi pembenihan awan bukan sahaja dilaksanakan di Melaka, malah turut dimulakan di Johor susulan kejayaan di beberapa negeri lain termasuk Perlis, Kedah dan utara Perak.
“Di negeri-negeri itu, kami melihat peningkatan taburan hujan antara 3.5 milimeter hingga 10 milimeter di kawasan yang disasarkan dan hasilnya berlaku peningkatan paras air di empangan-empangan terlibat.
“Masalah ini bersifat sementara dan insya-Allah pada pertengahan bulan Mei nanti keadaannya akan berbeza. Kami akan teruskan usaha yang dilaksanakan,” katanya.
-- BERNAMA