IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas seorang lelaki yang disyaki mencederakan isterinya sehingga berlumuran darah seperti yang tular di media sosial Threads, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, untuk mendapatkan permohonan reman.
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya mengesan satu hantaran tular di Threads yang dimuat naik oleh pemilik akaun ‘Haikal (@Kaltrwh”memaparkan seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah sedang meminta pertolongan daripada orang awam di sekitar kawasan Desa Pengkalan Timah, Lahat, di sini.
Menurutnya, hasil semakan mendapati, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang wanita tempatan kira-kira jam 10.50 malam tadi.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran mulut antara mangsa dan suaminya, berpunca daripada mabuk,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, tangkapan telah dibuat ke atas suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Polis meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian tersebut atau mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.