Skip to main content

Malaysia

Victor Chin wajar jelaskan perbelanjaan RM303.7 juta semasa jadi COO NexG

NexG, Mazlan Che Soh
Mazlan (gambar kecil) berkata keperluan untuk memberikan penjelasan perlu dilaksanakan dalam kerangka institusi melalui saluran rasmi syarikat seperti lembaga pengarah, jawatankuasa audit serta mekanisme pelaporan kepada pihak berkuasa berkaitan. - Gambar Facebook Mazlan/fail

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) NexG Bhd., Victor Chin Boon Long wajar tampil memberikan penjelasan kepada pemegang saham syarikat berhubung perbelanjaan berjumlah RM303.7 juta ketika beliau berada dalam kepimpinan syarikat itu.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kampus Seremban, Mazlan Che Soh berkata, dari sudut tadbir urus yang baik, mana-mana pihak dalam kepimpinan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam keputusan berkenaan perlu memberikan penjelasan yang jelas serta berasaskan fakta.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan prinsip pendedahan maklumat (disclosure) yang menjadi asas kepada keyakinan pasaran.

"Dalam konteks tadbir urus korporat syarikat tersenarai awam, keputusan perbelanjaan berskala besar seperti yang dilaporkan perlu dinilai berdasarkan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan tanggungjawab fidusiari kepada pemegang saham.

"Isu ini bukan hanya melibatkan individu tertentu, sebaliknya merangkumi bagaimana keputusan strategik syarikat dibuat, diluluskan dan dikomunikasikan kepada pemegang kepentingan.

“Penjelasan yang menyeluruh amat penting bagi melindungi kepentingan pemegang saham, khususnya pelabur minoriti yang bergantung kepada maklumat awam untuk menilai prestasi serta hala tuju syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 19 Mac lalu, laporan The Edge Malaysia mengenai perbelanjaan NexG Bhd berjumlah RM303.7 juta antara November 2024 hingga September 2025 telah menimbulkan persoalan serius terhadap amalan tadbir urus korporat syarikat tersebut.

Perbelanjaan itu melibatkan pemerolehan sebuah syarikat keselamatan siber bernilai RM40 juta, pembelian saham dalam MMAG Holdings Bhd dan NexG Bina Bhd berjumlah kira-kira RM164.8 juta, serta pemberian pinjaman sebanyak RM98.9 juta melalui cabang pinjaman syarikat.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata keperluan untuk memberikan penjelasan perlu dilaksanakan dalam kerangka institusi melalui saluran rasmi syarikat seperti lembaga pengarah, jawatankuasa audit serta mekanisme pelaporan kepada pihak berkuasa berkaitan.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan penjelasan yang diberikan bersifat menyeluruh, konsisten serta tidak menjurus kepada spekulasi atau pembelaan individu.

Dalam masa sama, beliau menegaskan keutamaan harus diberikan kepada keberkesanan proses semakan dalaman, audit serta amalan tadbir urus syarikat.

"Jika perlu, pihak berkuasa seperti badan pengawal selia pasaran modal boleh memainkan peranan bagi memastikan semua transaksi dan keputusan pelaburan mematuhi keperluan peraturan serta melindungi kepentingan pemegang saham.

"Dalam ekosistem syarikat tersenarai awam, kepercayaan pasaran tidak boleh dibina atas andaian semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh penjelasan yang telus dan boleh dipertanggungjawabkan," ujarnya.

Mazlan menambah, dalam situasi yang melibatkan persoalan awam yang signifikan, kejelasan maklumat bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan institusi.

Semalam media melaporkan polis telah mengesahkan Victor Chin, antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi Ops Viking dari 15 Oktober 2025 hingga 13 Januari lepas.

Must Watch Video