HULU SELANGOR: Dua individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Ampang Pecah, Rasa, Kuala Kubu Bharu, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.14 tengah malam itu, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Waja dan sebuah motosikal.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Pegawai Bomba Kanan I Hairun Afiza Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.14 tengah malam sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira 21 kilometer dari balai pada jam 12.35 pagi.
“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Waja dan sebuah motosikal.
“Terdapat tiga mangsa terdiri daripada warga tempatan. Dua mangsa disahkan meninggal dunia melibatkan seorang lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki, manakala seorang wanita mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kematian kedua-dua mangsa disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau berkata, anggota bomba turut menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit di lokasi kejadian.
Operasi membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dari BBP Bukit Sentosa.