SEPANG: Malaysia akan membawa isu pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dialami aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke mahkamah antarabangsa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pasukan peguam sedang mengumpulkan segala dokumen berkaitan dakwaan penculikan, tekanan serta serangan terhadap para delegasi GSF 2.0.
“Bukan sekali, dua kali mereka diseksa. Kita juga akan membawa perkara ini ke mahkamah antarabangsa.
“Kita akan teruskan tekanan dari sudut diplomatik dan kita akan menjelajah ke seluruh Malaysia untuk memberi penerangan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menyambut ketibaan 28 aktivis GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, malam tadi.
Dalam masa sama, Amirudin yang juga Menteri Penaung Misi GSF turut memuji keberanian aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu meskipun menyedari berdepan tekanan psikologi, ancaman dan serangan fizikal.
“Kita wajar berbangga kerana ada rakyat tempatan daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang sanggup mengorbankan masa, tenaga malah nyawa demi mempertahankan nilai kemanusiaan,” katanya.
Jelasnya, perjuangan membela Palestin bukan lagi sekadar slogan atau himpunan solidariti semata-mata, sebaliknya telah diterjemahkan melalui pengorbanan sebenar rakyat Malaysia.
“Hari ini terbukti rakyat Malaysia sanggup mempertaruhkan apa sahaja demi kemanusiaan dan demi membebaskan Gaza daripada kejahatan Israel yang telah berlaku puluhan tahun,” ujarnya.
Beliau turut mendakwa, terdapat cubaan sistematik untuk menggagalkan misi berkenaan termasuk penyebaran maklumat palsu, serangan fizikal terhadap delegasi serta tekanan terhadap ahli keluarga peserta.
“Ada serangan-serangan halus dibuat untuk melihat kegagalan misi ini. Ada yang menyerang delegasi kita secara fizikal dan ada ahli keluarga mereka turut ditekan,” katanya lagi.