Skip to main content

Malaysia

GSF 2.0: Konsep ‘menang’ luas, bukan hanya diukur apabila kapal berlabuh di Gaza - Sani Araby

SEPANG, 15 Mei -- Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby bercakap pada sidang media khas mengenai perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotilla 2026 di SNCC hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sani Araby berkata, misi itu berjaya membawa isu sekatan Gaza ke perhatian dunia apabila ratusan ahli parlimen antarabangsa, aktivis dan puluhan negara mula bersuara menekan Israel. - Foto BERNAMA

SEPANG: Rakyat Malaysia perlu memahami bahawa istilah ‘menang' dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bukan sekadar diukur apabila kapal berjaya berlabuh di perairan Gaza.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim berkata, kejayaan diukur apabila berjaya menggugat rejim Israel di pentas global melalui tekanan diplomatik, undang-undang dan solidariti masyarakat dunia.

“Kita kena faham konsep menang itu. Kalau kita rasa menang hanya apabila kapal masuk Gaza dan bantuan sampai, sebenarnya kita salah pilih gelanggang untuk berlawan dengan rejim.

“Kita berjaya membuka mata dunia dan membuktikan tindakan Israel menculik aktivis di perairan antarabangsa adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa,” katanya ketika berucap dalam majlis menyambut kepulangan 28 aktivis Malaysia, di sini, pada Ahad.

Menurut beliau, misi itu berjaya membawa isu sekatan Gaza ke perhatian dunia apabila ratusan ahli parlimen antarabangsa, aktivis dan puluhan negara mula bersuara menekan Israel.

Katanya, antara pencapaian terbesar ialah usaha mengabsahkan koridor maritim antarabangsa untuk misi kemanusiaan ke Gaza berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS 1982).

“Siapa yang menceroboh kapal berdaftar di perairan antarabangsa sebenarnya menceroboh kedaulatan negara dan tindakan itu boleh dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” katanya.

Beliau turut memaklumkan, bukti-bukti pencabulan undang-undang antarabangsa kini sedang dikumpul bagi difailkan ke ICC, termasuk dakwaan penculikan, serangan fizikal dan rampasan bantuan kemanusiaan.

Dalam pada itu, beliau berkata misi GSF 2.0 berjaya mencetuskan tekanan besar terhadap Israel walaupun menggunakan sumber kewangan yang jauh lebih kecil berbanding kempen propaganda rejim.

“Kita hanya menggunakan sekitar 0.8 peratus daripada dana propaganda Israel, tetapi berjaya mencipta gelombang solidariti antarabangsa yang besar,” ujarnya.

Beliau menegaskan perjuangan membela Palestin tidak akan terhenti dan Sumud Nusantara sedang merancang gerakan susulan termasuk konvoi darat serta GSF 3.0.

 

 

Must Watch Video

Advertisement