Skip to main content

Malaysia

Victor Chin perlu jawab perbelanjaan RM303.7 juta semasa jadi COO NexG - Mohamad Reeduan

Victor Chin, Reedzuan
Mohamad Reeduan (gambar kiri) berkata, Victor Chin (gambar kanan) perlu tampil memberikan penjelasan kepada pemegang saham NexG mengenai perbelanjaan RM303.7 juta - Gambar Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) NexG Bhd (NexG), Victor Chin Boon Long, digesa tampil memberikan penjelasan kepada pemegang saham berhubung perbelanjaan RM303.7 juta yang berlaku ketika beliau memegang jawatan itu, khususnya dalam tempoh beberapa keputusan pelaburan utama dibuat.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Dr Mohamad Reeduan Mustapha berkata, dari perspektif tadbir urus korporat yang baik, pihak pengurusan yang terlibat ketika itu wajar memberikan penjelasan yang jelas, profesional dan berasaskan fakta.

Menurut beliau, penjelasan tersebut bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan ketelusan maklumat kepada semua pemegang kepentingan.

"Keputusan melibatkan jumlah besar seperti RM303.7 juta tidak boleh dianggap sebagai operasi harian. Sebaliknya, ia merupakan keputusan strategik yang lazimnya melibatkan perancangan jangka panjang, analisis risiko menyeluruh serta pertimbangan hala tuju syarikat.

"Dalam kebanyakan organisasi, keputusan sebegini melibatkan pengurusan kanan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Operasi (COO) dan pasukan kewangan, selain melalui proses kelulusan ketat di peringkat lembaga pengarah serta jawatankuasa audit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Reeduan berkata, kebimbangan timbul apabila sebahagian pelaburan tersebut didakwa tidak selari dengan perniagaan teras NexG, manakala aktiviti pinjaman pula dilihat sebagai sesuatu yang baharu dan sebelum ini bukan fokus syarikat.

Dalam konteks itu, beliau berkata persoalan utama ialah rasional strategik di sebalik keputusan perbelanjaan berkenaan serta sejauh mana ia memberi nilai tambah kepada syarikat dan pemegang saham.

Tegas beliau, isu ini tidak boleh dianggap sekadar perbezaan pandangan dalam lembaga pengarah, sebaliknya menyentuh asas kepercayaan pelabur terhadap integriti dan ketelusan syarikat tersenarai awam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dalam sistem tadbir urus korporat yang baik, keputusan strategik tidak bergantung kepada seorang individu semata-mata.

"Ia adalah hasil pertimbangan kolektif yang melibatkan pelbagai lapisan struktur tadbir urus syarikat.

"Lembaga pengarah memainkan peranan utama memastikan setiap keputusan pelaburan selari dengan kepentingan syarikat, manakala jawatankuasa audit bertanggungjawab menilai aspek pematuhan, risiko dan integriti kewangan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan prinsip tadbir urus yang baik, semua pihak yang terlibat dalam keputusan strategik terdahulu, termasuk pengurusan kanan, digalakkan menyokong ketelusan melalui penjelasan yang jelas, profesional dan melalui saluran sesuai.

"Ini termasuk kenyataan rasmi syarikat, pembentangan kepada pemegang saham atau laporan tambahan bagi menjelaskan konteks keputusan yang dibuat," ujarnya.

Dalam masa sama, katanya, syarikat perlu bersikap proaktif dengan memastikan pendedahan maklumat dibuat secara konsisten, tepat dan mudah difahami, agar semua pemegang saham termasuk pelabur runcit mempunyai maklumat mencukupi untuk membuat keputusan rasional.

"Fokus utama isu ini bukan kepada individu tertentu, tetapi memastikan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan perlindungan kepentingan pemegang saham sentiasa menjadi keutamaan dalam pengurusan syarikat tersenarai awam," katanya.

Laporan The Edge Malaysia pada 19 Mac lalu berhubung perbelanjaan berjumlah RM303.7 juta oleh NexG antara November 2024 hingga September 2025 telah mencetuskan persoalan serius mengenai amalan tadbir urus korporat syarikat tersebut.

Must Watch Video