KUALA LUMPUR: Gangguan internet di seluruh Iran kini melepasi 1,000 jam, menurut data yang dikongsi kumpulan pemantau internet, NetBlocks, pada Sabtu.
Dalam hantaran di platform X, NetBlocks memaklumkan “1000 hours” sambil memaparkan graf yang menunjukkan tahap kesambungan rangkaian di Iran.
Tahap kesambungan rangkaian itu merosot daripada hampir normal kepada sekitar satu peratus pada awal Mac dan kekal pada paras itu sehingga 10 April.
Laporan terdahulu oleh NetBlocks serta media antarabangsa menyatakan gangguan berkenaan bermula pada 28 Februari susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada tarikh sama.
Gangguan tersebut kini berlanjutan lebih 40 hari, menjadikannya antara sekatan internet berskala nasional paling lama pernah direkodkan.
Kebanyakan pengguna hanya mempunyai akses terhad kepada rangkaian domestik.