Skip to main content

Dunia

Harga Japan Rail Pass untuk pelancong asing naik bermula Oktober

41715769282_Shinkansen.jpg
Syarikat Kumpulan JR kali terakhir menyemak harga Japan Rail Pass pada Oktober 2023, apabila ia dinaikkan sekitar 70 peratus.

TOKYO: Syarikat Kumpulan JR akan menaikkan harga Japan Rail Pass, iaitu tiket yang disasarkan kepada pelancong asing membolehkan perjalanan tanpa had menggunakan kereta api di seluruh Jepun termasuk kebanyakan perkhidmatan kereta api laju Shinkansen, lapor Agensi Berita Kyodo.

Harga pas yang ditawarkan oleh enam pengendali kereta api penumpang itu akan meningkat sekitar 5 hingga 6 peratus mulai 1 Okt selepas semakan pertama dalam tempoh tiga tahun, kata mereka. Harga pas bergantung kepada tempoh sah laku penggunaannya.

Pas tujuh hari untuk orang dewasa akan meningkat sebanyak 3,000 yen (US$19) kepada 53,000 yen bagi perjalanan dalam gerabak biasa, dan meningkat 4,000 yen kepada 74,000 yen bagi gerabak kelas premium Green Car.

Perubahan harga lain termasuk kenaikan 4,000 yen kepada 84,000 yen bagi pas 14 hari untuk gerabak biasa, dan kenaikan 5,000 yen kepada 105,000 yen bagi pas 21 hari yang sama.

Syarikat Kumpulan JR kali terakhir menyemak harga Japan Rail Pass pada Oktober 2023, apabila ia dinaikkan sekitar 70 peratus.

Syarikat itu berkata semakan terbaru ini mencerminkan pelarasan tambang yang dibuat oleh beberapa syarikat anggotanya sejak itu.

Bulan lalu, East Japan Railway Co. menaikkan tambang kereta apinya secara purata 7.1 peratus, iaitu kenaikan berskala besar pertama sejak penswastaan bekas pengendali kereta api negara itu pada 1987.

Di bawah kenaikan itu, tambang asas minimum 150 yen untuk kereta api tempatan meningkat kepada 160 yen.

Japan Rail Pass meliputi perjalanan kereta api dan Shinkansen yang dikendalikan oleh semua enam syarikat, termasuk perkhidmatan ekspres terhad, ekspres, laju dan tempatan, serta beberapa bas dan feri.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk perkhidmatan Shinkansen super-ekspres Nozomi dan Mizuho di laluan Tokaido, Sanyo dan Kyushu, yang memerlukan bayaran tambahan oleh pemegang pas.

Pas ini hanya tersedia untuk pelancong asing yang memasuki Jepun di bawah status “pelawat sementara” atau warga Jepun yang telah tidak bermastautin selama 10 tahun atau lebih.

Pelancong boleh membeli pas sebelum tiba di Jepun melalui pejabat jualan yang ditetapkan dan ejen rasmi di luar negara, serta melalui platform dalam talian rasmi Japan Rail Pass Reservation.

Bagi menggalakkan penggunaan platform dalam talian, syarikat berkata harga pas yang dibeli secara dalam talian akan kekal tidak berubah untuk tempoh terhad.

-- BERNAMA-KYODO

 

Must Watch Video