Skip to main content

Malaysia

UMNO, PH bincang isu kemelut Negeri Sembilan minggu depan - Asyraf Wajdi

Asyraf Sambutan Mara
Asyraf Wajdi (dua, kanan) berkata mesyuarat tersebut diputuskan susulan resolusi Biro Politik UMNO yang mahu kedua-dua pihak duduk berbincang bagi menyelesaikan isu melibatkan dasar serta kedudukan parti dalam kerajaan negeri. -Foto Facebook MARA

KUALA LUMPUR: UMNO dijadual mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) seawal minggu depan bagi menangani kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan ketika ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata mesyuarat tersebut diputuskan susulan resolusi Biro Politik UMNO yang mahu kedua-dua pihak duduk berbincang bagi menyelesaikan isu melibatkan dasar serta kedudukan parti dalam kerajaan negeri.

“Kita akan mengadakan pertemuan dalam minggu hadapan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas ketegangan politik di Negeri Sembilan selepas timbul kenyataan yang membayangkan UMNO negeri itu bersedia bertindak sebagai pembangkang dalam kerajaan sedia ada.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata beliau setakat ini belum menerima sebarang penjelasan rasmi daripada kepimpinan UMNO Negeri Sembilan berhubung kenyataan tersebut.

"Saya belum menerima sebarang penjelasan daripada mereka kerana di peringkat pusat, Biro Politik telah pun membuat keputusan (untuk berunding dengan PH)," jelas beliau.

Tegasnya, sebarang perselisihan faham yang timbul perlu dirungkai dengan merujuk kepada kerangka perjanjian Kerajaan Perpaduan, termasuk menerusi platform sedia ada seperti Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan berkaitan persoalan dasar dan pendirian parti masing-masing.

“Kita mesti kembali kepada perjanjian dan persefahaman yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Ia jelas memperuntukkan bahawa sekiranya timbul salah faham atau pertikaian, kita mempunyai platform untuk menyelesaikannya,” katanya.

Ditanya sama ada pertemuan minggu depan akan membincangkan pelantikan Menteri Besar baharu, Asyraf Wajdi berkata isu berkenaan melibatkan skop yang lebih luas dan tidak terhad kepada kedudukan individu semata-mata.

"Ada banyak aspek yang perlu dipertimbangkan. Itu (pelantikan Menteri Besar) mungkin salah satunya, tetapi saya boleh katakan isu di Negeri Sembilan bukan sekadar mengenai mana-mana individu.

"Ini menyentuh soal institusi. Ia juga melibatkan kedaulatan institusi diraja serta adat istiadat yang perlu difahami sepenuhnya oleh semua pihak," tambah beliau.

Must Watch Video